Apa itu Penyakit Cakaran Kucing?

Buat para peminat kucing, pernahkah anda terfikir bahawa kucing anda yang comel itu sebenarnya adalah spesis haiwan yang menjadi primary reservoir bagi bakteria Bartonella henselae yang menjadi punca Penyakit Cakaran Kucing?

Penyakit Cakaran Kucing dikenali dengan pelbagai nama antaranya Cat Scratch Disease (CSD) atau Cat Scratch Fever. Cat Scratch Disease (CSD) merupakan sejenis penyakit dalam golongan Bartonellosis. Penyakit Bartonellosis pula terbahagi kepada beberapa jenis penyakit di dalamnya iaitu Cat Scratch Disease, Trench Fever dan Carrión’s Disease.

Anda boleh mendapat penyakit ini setelah dicakar atau digigit oleh kucing yang dijangkiti. Kebiasaannya, tanda-tanda penyakit ini akan timbul selepas 3 hingga 10 hari anda dijangkiti dan kadar penyembuhan adalah bergantung pada kadar keterukan jangkitan pada luka anda. Namun begitu, kebanyakan kes yang tidak teruk akan sembuh dengan sendiri tanpa perlu rawatan yang khusus.

Punca

Transmisi penyakit ini adalah melalui kucing (reservoir) kepada manusia (accidental host) melalui luka akibat cakaran mahupun gigitan kucing.

Namun begitu, tidak semua cakaran dan gigitan kucing akan menyebabkan anda menghidap Bartonellosis kerana tidak semua kucing dijangkiti bakteria tersebut. Hanya kucing yang dijangkiti sahaja akan menyebabkan anda mendapat penyakit ini.

Bagaimanakah kucing anda dijangkiti bakteria tersebut?

Puncanya adalah dari sejenis kutu iaitu Ctenocephalides felis felis yang merupakan vektor bagi bakteria Bartonella henselae. Kutu tersebut akan membawa bakteria ini pada air liur dan najis mereka. Setelah terjadinya infestasi kutu pada kucing anda, kucing akan dijangkiti setelah tertelan najis kutu tersebut yang terdapat pada badan kucing anda.

Umum diketahui bahawa kucing sangat gemar membersihkan badan dengan menjilat badan mereka dan gemar menggaru menggunakan kuku. Tabiat ini secara tidak langsung memudahkan transmisi bakteria dari kutu kepada kucing dan seterusnya dari kucing kepada manusia melalui luka akibat cakaran dan gigitan (Chomel et al., 1996).

Selalunya, kucing yang dijangkiti oleh kuman ini tidak menunjukkan sebarang tanda jangkitan dan akan aktif seperti biasa. Ini menyukarkan kita mengenalpasti samada mereka membawa bakteria ini ataupun tidak.

Bagi transmisi jangkitan Bartonellosis secara langsung dari kutu kepada manusia pula sebenarnya jarang berlaku walaupun kutu adalah vektor bagi bakteria Bartonella henselae. 

Simptom dan tanda tanda penyakit cakaran kucing

Antara tanda anda mengalami penyakit ini adalah ;

  1. Demam
  2. Pernah mengalami gigitan atau cakaran kucing terutama anak kucing
  3. Bengkak pada nodus limfa
  4. Papular lesions iaitu tompok kecil merah seakan jerawat yang berisi cecair atau nanah yang berada di sekitar luka. Boleh berterusan selama beberapa hari hingga minggu.
  5. Sakit kuat pada otot (Jarang)
  6. Jangkitan mata (Jarang)
  7. Encephalitis (Jarang)
  8. Mati pucuk pada lelaki atau erectile dysfunction (Sangat Jarang) – Pada tahun 2017 yang lalu, terdapat seorang pemuda berumur 23 tahun mengalami mati pucuk setelah dicakar oleh kucing peliharaannya beberapa hari sebelum itu. Namun, setelah dirawat menggunakan antibiotik selama 3 minggu, pemuda dari Belgium itu akhirnya berjaya disembuhkan.

Cara Rawatan Penyakit cakaran kucing

Kebiasaannya, luka akan sembuh dengan sendiri tanpa apa-apa rawatan khusus diberikan. Namun begitu, sekiranya luka anda menjadi semakin teruk dan tiada tanda-tanda penyembuhan selepas beberapa hari, anda harus berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan.

Setelah anda diperiksa, Pegawai Perubatan mungkin akan memberikan anda antibiotik sekiranya perlu. Antara antibiotik yang menjadi pilihan adalah dari kumpulan penicillin, tetracycline, cephalosporin dan aminoglycoside.

Jika jangkitan tidak dapat dirawat menggunakan antibiotik secara oral, anda mungkin akan dimasukkan ke dalam wad untuk pemantauan, penjagaan luka dan pemberian antibiotik melalui intravenous.

Langkah Pencegahan

1. Sebaik-baiknya elakkan dari mendapat cakaran atau gigitan dari kucing anda.

2. Elakkan kucing anda menjilat luka sekiranya anda mempunyai luka yang terdedah.

3. Sekiranya anda dicakar atau digigit oleh kucing anda, cuci luka dengan segera menggunakan air paip dan sabun. Kemudian pantau luka anda selama beberapa hari untuk melihat sebarang tanda-tanda jangkitan seperti gatal, merah, nanah dan ruam berisi cecair yang seakan-akan jerawat di sekitar luka.

4. Jika luka anda menunjukkan tanda jangkitan selepas beberapa hari, anda mungkin perlu berjumpa dengan doktor untuk mendapat rawatan lanjut.

Rujukan

  1. Angelakis E, Raoult D. Pathogenicity and treatment of Bartonella infections. Int J Antimicrob Agents 2014;44:16–25.
    Centers for Disease Control & Prevention. Bartonella Infection (Cat Scratch Disease, Trench Fever, and Carrión’s Disease). Retrieved May 2, 2018 from https://www.cdc.gov/bartonella/index.html
  2. Chomel BB, Boulouis H-J, Maruyama S, Breitschwerdt EB (2006): Bartonella spp. in pets and effect on human health. Emerg Inf Dis 12, 389-394.
  3. Chomel BB, Kasten RW, Floyd-Hawkins KA, Chi B, Yamamoto K, Roberts-Wilson J, Gurfield AN, Abbott RC, Pedersen NC, Koehler J (1996): Experimental transmission of Bartonella henselae by the cat flea. J Clin Microbiol 34, 1952–1956.
    Pet MD. Cat Scratch Fever in Cats. Retrieved May 6, 2018 from https://m.petmd.com/cat/conditions/infectious-parasitic/c_ct_bartonellosis
  4. Quentin Trefois, Jean-Christophe Marot, Halil Yildiz, Gregoire Wieers. Fever, bone pain and erectile dysfunction. Where is the cat? BMJ Case Reports 2017; doi:10.1136/bcr-2017-221397
  5. Rolain JM, Brouqui P, Koehler JE, Maguina C, Dolan MJ, Raoult D. Recommendations for treatment of human infections caused by Bartonella species. Antimicrob Agents Chemother 2004;48:1921-33.

Bacaan lanjut :

Mati Pucuk: Punca, Simptom dan Rawatan


Shafiq

Assistant Medical Officer, Ministry of Health Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *