156Shares

Baru – baru ini, dunia sekali lagi dikejutkan dengan satu wabak penyakit yang berbahaya. Selepas wabak Ebola menggemparkan dunia, kini wabak Marburg menghantui kita. Wabak ini diisyhtiharkan menular di Kween District Timur Uganda pada 19 Oktober 2017 yang lalu. Wabak ini telah meragut beberapa nyawa dan Pertubuhan Kesihatan Dunia bersama dengan Kementerian Kesihatan Uganda kini giat menangani wabak ini.

PENGENALAN

Marburg Virus Disease adalah penyakit bawaan virus yang berasal dari keluarga virus yang menyebabkan penyakit Ebola. Virus ini adalah antara virus yang paling kuat pernah menjangkiti manusia dalam sejarah. Walaupun penyakit ini amat jarang berlaku, ia boleh mengakibatkan kemusnahan nyawa yang sangat tinggi sekiranya wabak tidak dapat dikawal dengan baik.

Peratusan kematian akibat jangkitan adalah 88% sekiranya dijangkiti.
Dari sudut sejarah, Marburg pernah menggemparkan dunia pada satu ketika dahulu iaitu pada tahun 1967 yang berlaku di dua tempat serentak iaitu di Marburk dan Frankfurt (Jerman) serta Belgrade (Serbia). Selain itu, wabak juga telah dilaporkan berlaku di Angola, Kenya, Afrika Selatan dan Uganda.

CARA TRANSMISI

Rousettus aegyptiacus iaitu spesis kelawar buah dari keluarga Pteropodidae  diketahui sebagai perumah semulajadi atau host bagi virus Marburg. Spesis kelawar ini biasanya berada di sepanjang sub-Sahara Arika & Utara Afrika, juga berada di kawasan Timur Tengah & Asia Barat.

A. Kelawar Kepada Manusia

Jangkitan kepada manusia bermula akibat golongan yang terdedah dalam jangka masa yang lama kepada gua atau lombong yang dihuni koloni kelawar Rousettus. Kelawar yang membawa virus Marburg kemudian menjangkiti manusia melalui gigitan.

B. Manusia Kepada Manusia

Setelah itu, manusia yang terjangkit pula menyebarkan virus melalui sentuhan manusia ke manusia seperti ;

  1. Sentuhan secara terus kepada darah atau luka atau cecair badan pesakit.
  2. Sentuhan melalui benda yang tercemar oleh cairan pesakit seperti katil dan pakaian.

C. Pesakit Kepada Petugas Kesihatan

Selain itu, golongan berisiko seperti pekerja kesihatan yang bekerja secara dekat dengan pesakit mempunyai risiko yang amat tinggi untuk dijangkiti. Faktor jangkitan kepada golongan ini adalah seperti ;

  1. Tidak mengamalkan langkah kawalan infeksi dengan ketat seperti pemakaian personal protective equipments (PPE) yang tidak berkesan.
  2. Melalui kecederaan akibat benda tajam atau needle stick injury seperti tusukan jarum suntikan yang tercemar oleh virus Marburg.
  3. Bagi pesakit yang telah meninggal, para petugas yang menguruskan pengkebumian juga berisiko dijangkiti sekiranya tersentuh cairan dari mayat tanpa dilindungi PPE. Hal ini disebabkan, seseorang pesakit itu akan sentiasa menjangkiti orang lain selagi virus terdapat dalam darah mereka walaupun pesakit telah meninggal dunia.

D. Aktiviti Seksual

Tambahan itu, virus ini juga dilaporkan boleh merebak melalui hubungan seksual. Terdapat kes dilaporkan mendapat jangkitan melalui air mani walaupun pesakit terbabit telah 7 minggu sembuh dari penyakit Marburg.

Namun, kajian lebih lanjut perlu dilakukan untuk menilai risiko jangkitan melalui seks dan langkah – langkah keselamatan perlu ditekankan kepada pasangan seksual yang dijangkiti. WHO menyarankan agar pasangan seksual perlulah ;

  1.  Mnjalani sesi kaunseling dan mengambil langkah berjaga – jaga iaitu dengan mengamalkan praktis seksual yang selamat sehingga keputusan darah disahkan negatif dengan dua kali ujian.
  2. Menjalani ujian sperma bagi mengesan kehadiran virus terutama pesakit lelaki sekiranya mereka bersedia dari segi mental dan fizikal dalam tempoh 3 bulan selepas onset jangkitan.
  3. Pilihan lain yang lebih selamat adalah dengan berhenti dari melakukan hubungan seksual sehingga telah disahkan benar-benar sembuh.

TANDA DAN GEJALA PENYAKIT MARBURG

Waktu inkubasi adalah berbeza iaitu daripada 2 hingga 21 hari. Selepas waktu inkubasi, pesakit akan mengalami ;

  1. Demam tinggi
  2. Sakit kepala yang kuat
  3. Letih lesu
  4. Sakit otot
  5. Cirit birit yang teruk (boleh berlarutan selama seminggu)
  6. Sakit perut
  7. Loya dan muntah-muntah (boleh bermula pada hari ketiga sakit)
  8. Bintik – bintik merah yang tidak gatal pada tubuh
  9. Mudah mengalami pendarahan teruk dan boleh mengakibatkan maut. Pesakit akan mengalami muntah darah, najis berdarah, hidung berdarah, gusi berdarah dan pendarahan vagina.
  10. Mengalami kemerosotan mental seperti kekeliruan, mudah marah dan agresif.
  11. Bengkak pada testis (Orchitis)
  12. Kematian boleh berlaku pada hari ke 8 atau ke 9 selepas tanda dan gejala muncul (Selalunya disebabkan oleh kehilangan banyak darah dan renjatan contohnya hypovolumic shock)

RAWATAN

Setakat ini, rawatan khusus dan vaksin masih belum ada ditemui. Walaupun begitu, pelbagai rawatan seperti produk darah, terapi imun dan terapi ubat – ubatan sedang giat diusahakan oleh para penyelidik. Sementara itu, rawatan sokongan seperti oral & intravenous fluid diberikan untuk melawan dehidrasi dan rawatan simtomatik untuk merawat gejala yang timbul.

LANGKAH – LANGKAH PENCEGAHAN

KAWASAN WABAK

  1. Mengurangkan risiko transmisi daripada kelawar buah kepada manusia. Transmisi dapat dikurangkan dengan pemakaian alat perlindungan seperti sarung tangan dan lain – lain sekiranya terlibat dalam aktiviti perlombongan atau memasuki gua yang dihuni oleh kelawar buah. Ketika wabak berlaku, sumber makanan dari produk haiwan hendaklah dimasak dengan baik sebelum dimakan.
  2. Mengurangkan risiko transmisi dari manusia kepada manusia. Elakkan bersentuhan secara langsung dengan pesakit. Pemakaian alat perlindungan adalah wajib untuk mengelakkan jangkitan. Sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan dengan sabun dan air bersih.
  3. Hubungan seksual. Mengelakkan hubungan seksual atau mengamalkan amalan seksual yang selamat seperti pemakaian kondom dan sebagainya.

KAWASAN BEBAS WABAK

  1. Memberi pendedahan dan pendidikan mengenai penyakit terhadap masyarakat khususnya rakyat Malaysia. Bagi yang bercadang untuk melancong ke luar negara terutama negara Afrika, anda dinasihati supaya menangguh aktiviti tersebut sehingga wabak terkawal. Sekiranya perlu, anda hendaklah sentiasa mengamalkan langkah – langkah keselamatan dan kebersihan seperti pemakaian alat perlindungan seperti penutup muka dan sebagainya.
  2. Pelajar atau pekerja yang bekerja di luar negara dan para pelancong terutama dari negara Afrika hendaklah membuat ujian saringan di fasiliti berkaitan sebelum memasuki negara ini.
    Ujian saringan adalah perlu untuk memastikan diri dan keluarga bebas dari jangkitan. Selain itu, pengesanan awal boleh membantu dalam rawatan penyakit ini dan mengawal jangkitan daripada merebak dalam negara kita.
  3.  Sekiranya pernah melawat ke negara yang terbabit dalam tempoh terdekat dan anda mengalami simtom – simtom seperti di atas, anda hendaklah mendapatkan rawatan dan ujian dengan serta merta. Hal ini penting bagi mencegah penularan wabak sekiranya anda benar – benar dijangkiti. Setiap dari kita bertanggungjawab dalam hal ini kerana masalah ini melibatkan keselamatan dan nyawa manusia seluruhnya.

SUMBER

1. Unilad

2. WHO

3. CNN

 

 


2 Comments

Irvin Westover · May 21, 2018 at 6:46 am

Thanks for the marvelous posting! I truly enjoyed reading it, you’re a great author.I will make sure to bookmark your blog and will come back very soon. I want to encourage one to continue your great posts, have a nice evening!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *