Ramai dikalangan masyarakat yang mudah percayai pada penjual supplement yang mengatakan produknya mampu mengubati kencing manis. Salah satu sebab kenapa masyarkat mudah percaya adalah sebab mereka tidak tahu berkenaan punca kencing manis itu sendiri.

Ini menyebabkan mereka dengan membuta-tuli mempercayai bahawa produk tersebut mampu menyembuhkan penyakit kencing manisnya.

Oleh itu, dengan kita mengetahui punca kencing manis ini, maka kita dapat pastikan adakah produk itu benar ataupun palsu.

Punca kencing manis

Punca kencing manis terbahagi kepada 2 iaitu

  • Kerintangan insulin
  • Kekurangan penghasilan insulin

(Hormon insulin adalah hormon yang dihasilkan oleh kalenjar pankreas. Ia berfungsi untuk memasukkan gula ke dalam sel)

Kerintangan insulin ini bermaksud insulin tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya menyebabkan gula tidak dapat masuk ke dalam sel.

Kekurangan insulin pun menyebabkan perkara yang sama. Ia akan menyebabkan gula dalam darah tidak dapat masuk ke dalam sel.

Kedua-dua perkara inilah yang menyebabkan gula tinggi dalam darah dan kencing manis berlaku.

Apakah pula yang menyebabkan Kerintangan insulin?

Kerintangan insulin adalah disebabkan berat badan yang berlebihan. Kajian demi kajian telah membuktikan bahawa obesiti menjadi penyebab utama kerintangan insulin dan majoriti mereka yang mengalami kencing manis adalah mereka yang berlebihan berat badan.

Bagi mereka yang mengalami kerintangan insulin dan penyebabnya lebih kepada gaya hidup, mereka ini dikategorikan sebagai penghidap Diabetes Mellitus Jenis 2.

Apakah pula yang menyebabkan Kurangnya penghasilan insulin?

Jenis kencing manis yang selalunya disebabkan masalah ini adalah Diabetes mellitus Jenis 1. Ia disebabkan sel pertahanan badan menyerang sel pankreas yang menghasilkan hormon insulin. Ini menyebabkan sel itu mati dan hormon insulin semakin berkurangan membawa kepada bacaan gula yang tinggi dalam darah.

Untuk kencing manis jenis ini, selalunya pesakit akan kurus kerana ketiadaan hormon insulin akan menyebabkan hormon yang berlawanan dengan fungsi insulin iaitu glucagon akan lebih dominan.

Glucagon akan menggunakan lemak di dalam badan untuk menghasilkan tenaga. Ia juga akan menyuruh badan untuk menghasilkan lebih banyak gula di dalam darah terutamanya daripada hati.

Disebabkan hal ini, lemak dalam badan akan diuraikan dan boleh menyebabkan seseorang itu kelihatan kurus.

Bagaimanakah sepatunya penyakit kencing manis itu dapat diubati?

Bila kita bercakap tentang ubat, maka kita kena lihat punca kepada penyakit tersebut.

1) Kerintangan insulin

  • Ia disebabkan berlebihan berat badan
  • Maka cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mengurangkan berat badan.
  • Kajian telah menunjukkan pesakit kencing manis yang mengurangkan berat badannya boleh menyebabkan kawalan gulanya turun ke aras normal semula tanpa menggunakan ubat.
  • Ini kerana masalah kerintangan insulinnya telah diselesaikan dan insulin boleh berfungsi dengan normal. Ini menyebabkan gula menjadi terkawal

2) Kurangnya penghasilan insulin

  • Selalunya disebabkan diabetes mellitus Jenis 1
  • Sel beta yang menghasilkan insulin di dalam pankreas telah pun mati. Maka kalau hendak menyembuhkannya kita memerlukan menghasilkan sel beta itu semula
  • Setakat ini belum lagi ada teknologi yang dapat menghasilkan sel beta dan boleh digunakan dalam badan.
  • Teknologi dalam stem cell merupakan salah satu harapan untuk manusia sembuh daripada pelbagai penyakit. Ini kerana ‘stem cell’ boleh diaruhkan menjadi sel spesifik yang lain seperti sel beta.
  • Sebab itu ada juga orang yang jual produk mengatakan produknya mampu mengaruh ‘stem cell’ menjadi sel yang mampu menghasilkan insulin jesteru menyembuhkan kencing manis. Alangkah malangnya mereka yang terpedaya dengan perkara tersebut kerana kajian masih lagi giat dijalankan dan ia belum lagi terbukti boleh digunakan kepada manusia untuk menyembuhkan kencing manis.

Apakah soalan yang boleh ditanya kepada penjual supplement bila mereka mengatakan produknya boleh mengubati kencing manis?

Kita boleh tanya beberapa soalan kepada mereka. Sebagai contoh:

  • Produk ini guna mekanisma apa untuk menyembuhkan kencing manis?
  • Produk ini boleh bantu dalam masalah kerintangan insulin tak?
  • Produk ini boleh tambah sel beta dalam kalenjar pankreas tak?
  • Adakah produk ini telah terbukti berkesan pada manusia?
  • Kajian mana you ambik?
  • Ada tak orang mati sebab ambil produk ini?
  • Ada berdaftar dengan KKM tak?

Jadi kita tanya dia sampailah dia pula rasa ragu-ragu terhadap produk yang dijualnya. Dalam masa yang sama nanti, bolehlah educate kepada penjual produk itu berkenaan punca kencing manis supaya dia pun insaf dan berhenti menjual produk yang belum lagi terbukti berkesan itu.

Rujukan:

  1. Hardy, O. T., Czech, M. P., & Corvera, S. (2012). What causes the insulin resistance underlying obesity? Current Opinion in Endocrinology, Diabetes, and Obesity, 19(2), 81–87. http://doi.org/10.1097/MED.0b013e3283514e13
  2. Hardy, O. T., Czech, M. P., & Corvera, S. (2012). What causes the insulin resistance underlying obesity? Current Opinion in Endocrinology, Diabetes, and Obesity, 19(2), 81–87. http://doi.org/10.1097/MED.0b013e3283514e13
Categories: Mitos

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *