Mata kuning dalam istilah perubatan dipanggil sebagai jaundis. Ia berlaku pada bila kompaun bilirubin meningkat di dalam darah.

Kompaun bilirubin merupakan hasil penguraian hemoglobin iaitu struktur di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen. Ketika mana sel darah merah sudah berumur 6 bulan, sel tersebut akan diuraikan dan melepaskan hemoglobin yang akan diuraikan menjadi bilirubin. Ketika mana bilirubin ini tinggi di dalam darah, ia akan pergi ke bahagian mata dan juga kulit menyebabkan mata dan kulit berubah menjadi warna kuning.

Apakah punca yang menyebabkan mata menjadi kuning?

Terdapat beberapa organ yang menyebabkan mata kuning berlaku. Organ tersebut adalah:

  • Hati
  • Pundi hempedu
  • Sel darah merah

Masalah hati yang menyebabkan mata kuning

Hati mempunyai pelbagai fungsi termasuk menguraikan sel darah merah yang sudah tua, menyingkirkan kompaun bilirubin yang terhasil daripada sel darah merah dan beberapa fungsi lain. Masalah yang menyebabkan fungsinya terganggu boleh menyebabkan kompaun bilirubin tidak dapat disingkirkan dan kepekatannya semakin tinggi di dalam darah. Beberapa keadaan tersebut adalah:

  • Penggunaan alkohol yang berlebihan
  • Kanser hati
  • Jangkitan hati (Hepatitis)
  • Non-alcholic fatty liver disease (Hati berlemak). Penyakit ini selalunya berlaku pada mereka yang mempunyai kencing manis dan juga obese
  • Liver cirrhosis: Keadaan dimana hati meradang dan rosak sehingga terdapat banyak parut pada organ hati tersebut

Penyakit genetik

Terdapat beberapa penyakit genetik yang menyebabkan hati berparut(Liver cirrhosis). Beberap penyakit genetik tersebut adalah:

  • Hemochromatosis: Ia berlaku disebabkan pengumpulan zat besi pada hati
  • Wilson’s disease: Berlaku disebabkan pengumpulan unsur kuprum di dalam hati

Masalah Pundi hempedu yang menyebabkan jaundis

Hati akan menghasilkan cecair hempedu yang akan disimpan terlebih dahulu dalam pundi hempedu. Dalam hempedu itulah terdapat kompaun bilirubin yang akan disingkir ke dalam usus yang menyebabkan najis anda menjadi warna kuning.

Jika terdapat sumbatan yang menyekat cecair hempedu disingkirkan daripada pundi hempedu, ia akan menyebabkan kompaun bilirubin dalam darah meningkat dan mata pun menjadi kuning.

Masalah yang menyebabkan perkara ini berlaku adalah:

  • Tersumbat dengan batu hempedu
  • Jangkitan saluran hempedu yang berfungsi untuk menyingkirkan cecair hempedu(ascending cholangitis)
  • Kanser pada saluran hempedu
  • Jangkitan pada pundi hempedu(Acute Cholecystitis)

Pesakit yang mengalami sumbat pada pundi hempedu selalunya akan mengadu simptom-simptom yang lain iaitu:

  • Najis bertukar warna kepada warna pucat
  • Air kencing menjadi lebih pekat warna kuningnya seumpana warna teh

Penyakit sel darah merah

Kematian sel darah merah secara banyak boleh menyebabkan penghasilan bilirubin yang banyak dalam darah. Ini juga menjadi salah satu punca jaundis pada pesakit. Terdapat beberapa punca yang menyebabkan sel darah merah pecah secara banyak. Ia adalah:

  • Autoimmunie Hemolytic Anemia: Dalam masalah ini, sel darah putih sendiri akan menyerang sel darah merah dan menyebabkan sel darah merah pecah
  • Sickle cell anemia (Anemia sel sabit): Dalam masalah ini, hemoglobin yang terhasil tidak normal menyebabkan ia bergumpal di dalam sel darah merah. Ini menyebabkan sel darah merah menjadi bentuk seperti bulan sabit. Pada ketika ini, sel darah merah keras, tidak fleksible dan lebih mudah untuk pecah.
  • Kekurangan enzim glucose-6-phosphate dehydrogenase(G6PD deficiency): Sel darah merah lebih mudah diserang radikal bebas di dalam darah menyebabkan ia lebih mudah pecah.

Simptom dan tanda Mata kuning (Jaundis)

Terdapat beberapa simptom lain yang akan datang bersama-sama dengan mata kuning bergantung kepada punca yang menyebabkan masalah tersebut berlaku.

Tanda tanda tersebut adalah:

  • Kulit gatal
  • Rasa tidak sihat dan badan lemah
  • Perut menjadi rasa penuh: Masalah ini selalunya berlaku apabila kegagalan hati telah pun berlaku menyebabkan air terkumpul di dalam bahagian abdomen
  • Demam
  • Najis bertukar menjadi warna pucat: Selalunya berlaku disebabkan saluran hempedu yang tersumbat.
  • Air kencing menjadi warna gelap seperti warna teh

Bagi bayi, terdapat beberapa punca yang berbeza yang menyebabkan bayi tersebut mengalami jaundis ataupun mata kuning ini.

Rujukan:

  1. How is gallbladder cancer diagnosed? (2014, February 6). cancer.org/cancer/gallbladdercancer/detailedguide/gallbladder-diagnosis
  2. Jaundice. (2013, February 26). nhs.uk/Conditions/Jaundice/Pages/Introduction.aspx
  3. What Causes Yellow Eyes? Healthline.com. https://www.healthline.com/symptom/yellow-eyes
Categories: Simptom

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *