Jerawat berlaku disebabkan penyumbatan pada liang roma. Jika ingin menggunakan krim yang dibeli dari farmasi bagi rawatan jerawat pastikan ia adalah berasaskan air (water-baser). Ini untuk mengelakkan liang roma daripada tersumbat dan menyebabkan jerawat berlaku.

Rawatan yang paling berkesan adalah dengan merencat penghasilan sebum, menghadkan pembiakan bakteria ataupun menggalakkan penanggalan kulit lama supaya liang roma tidak lagi tersumbat.

Disebabkan rawatan jerawat boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan, penggunaan krim atau rawatan yang baru perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Mereka yang mempunyai keyakinan yang rendah disebabkan masalah jerawat dimuka dan juga telah mencuba pelbagai rawatan, golongan ini perlulah berjumpa dengan pakar kulit(Dermatologist).

Rawatan Jerawat yang boleh didapatkan di farmasi

1) Sabun dan Air

Sabun lembut untuk membersihkan muka boleh digunakan lebih kurang 2 kali sehari. Ia membuka liang roma dan mengelakkan berlakunya jerawat.  Selalunya ia tidak akan menghilangkan jerawat yang sudah sedia ada. Tetapi ia mengelakkan pertumbuhan jerawat yang baru.

Perlu diingatkan bahawa penggunaan sabun yang selalu boleh menyebabkan kulit muka menjadi kering. Oleh itu, dinasihatkan untuk menggunakannya dua kali sehari

2) Penjagaan kulit muka

Terdapat beberapa jenis pencuci muka yang boleh digunakan seperti Benzoyl Peroksida, asid salisilik, alkohol dan acetone

Benzoyl peroksida

Boleh digunakan untuk jerawat yang tidak teruk. Ia bertindak dengan cara membunuh bakteria yang menyebabkan berlakunya jerawat. Penggunaanya perlu dibuat secara berterusan selama lebih kurang 4 minggu untuk merawat jerawat dan mengelakkannya daripada tumbuh semula.

Seperti mana ubat yang lain, ia tidak memberhentikan penghasilan sebum. Apabila penggunaannya diberhentikan, maka jerawat akan datang kembali.

Pencuci muka ini ada dalam bentuk krim, losyen, pencuci dan juga gel.

Asid Salisilik

Asid salisilik membantu dalam memperbetulkan semula kulit yang tidak normal dengan membuka sumbatan pada liang roma dan mengelakkan daripada berlakunya jerawat. Ia tidak membunuh bakteria dan ia tidak mengurangkan penghasilan sebum.

Ia mesti digunakan secara berterusan kerana ia seperti benzoyl peroksida. Fungsinya akan berhenti apabila tidak digunakan dan ia menyebabkan jerawat datang semula.

Ubat ini boleh dijumpai dalam bentuk losyen dan krim.

Alkohol dan aseton

Alkohol boleh membunuh bakteria manakala aseton pula boleh menanggalkan kesan minyak pada kulit muka. Ubat ini selalunya digabungkan dalam satu krim ataupun losyen.

Rawatan Jerawat yang memerlukan pemeriksaan doktor

1) Antibiotik

Antibiotik mungkin digunakan jika kulit dijangkiti kuman dan kelihatan teruk. Ianya boleh diberi dalam bentuk krim ataupun tablet. Fungsinya adalah untuk membunuh bakteria yang menyebabkan terjadinya jerawat

Untuk jerawat yang tidak terlalu teruk, antibiotik krim boleh disyorkan. Jika teruk, antibiotik yang dalam bentuk tablet adalah lebih baik kerana ia boleh memasuk kalenjar sebum dan membunuh bakteria dikawasan yang terlibat.

Krim antibiotik  yang mengandungi clindamycin dan erythromycin merupakan antibiotik yang selalu digunakan. Penggunaannya perlu dikombinasikan dengan benzoyl peroksida dan krim retinoid untuk mendapat kesan yang lebih bagus.

Ubat jenis tablet selalunya diberikan kepada pesakit yang mempunyai masalah jerawat yang teruk. Antibiotik yang selalu diberikan bagi masalah ini adalah doxycycline

2) Krim Retinoid

Ubat ini ada dalam bentuk krim dan juga tablet. Krim retinoid digunakn untuk menormalkan pertumbuhan kulit. Ia boleh digunakan dengan kombinasi benzoyl peroksida dan juga antibiotik

Retinoid dalam bentuk krim tidak terlalu memberi kesan sampingan berbanding dalam bentuk tablet. Beberapa kesan sampingannya adalah kemerahan pada kulit, kekeringan dan juga kulit menjadi gatal

3) Pil Perancang

Pil perancang mengandungi hormon wanita boleh digunakan. Ia berfungsi untuk melawan kesan hormon lelaki(Testosterone) yang menyebabkan jerawat. Penggunaannya hanya untuk wanita sahaja dan perlu menggunakannya lebih kurang 3 ke 4 bulan untuk mendapatkan kesan yang maksimum.

Fungsinya adalah merencat dan melawan fungsi hormon testosterone kerana ia boleh menyebabkan penghasilan sebum yang banyak. Apabila hormon wanita lebih banyak, penghasilan sebum semakin berkurangan menyebabkan jerawat susah untuk terbentuk.

Beberapa kesan sampingan ubat ini adalah loya, berat badan bertambah, sakit payu dara dan juga haid mungkin tidak teratur.

Amaran Apabila Membuat Rawatan Jerawat

  1. Pesakit yang menggunakan Ubat ini perlulah peka terhadap kesan sampingan yang mungkin berlaku dan memberhentikan kegunaannya bila kesan sampingan itu terjadi.
  2. Krim retinoid dan benzoyl peroksida boleh menyebabkan kulit menjadi kemerahan, kering dan sensitif kepada cahaya matahari
  3. Ubat antibiotik yang dimakan boleh menyebabkan cirit birit dan jangkitan kulat
  4. Benzoyl peroksida mungkin akan merencat fungsi krim retinoid. Oleh itu, jangan gunakan kedua-duanya serentak

Bagaimana untuk mengelakkan Jerawat?

Disebabkan jerawat adalah lebih disebabkan hormon yang tidak stabil dan juga berkaitan dengan genetik, kebanyakkan doktor percaya tidak cara untuk mengelakkannya. Ia juga bermaksud kebersihan mahupun diet, tidak akan menghalang perkara itu daripada berlaku.

Rawatan untuk mengawal jerawat adalah untuk mengurangkan terjadinya jerawat tersebut. Penjagaan kulit adalah penting terutamanya bagi mereka yang meningkat remaja. Perkara yang asas adalah mandi setiap hari dengan basuhan pada muka dan tangan menggunakan sabun antibakteria.

Beberapa tips lain untuk mengelak bermulanya jerawat adalah:

  • Penggunaan pencuci muka 2 kali sehari untuk membersihkan kulit muka supaya liang roma tidak tersumbat
  • Elakkan penggunaan produk yang mempunyai rasa berpasir bila disapukan pada muka. Penggunaan produk seperti ini boleh menyebabkan iritasi pada kulit muka
  • Pakai makeup yang tidak berasaskan minyak kerana ia boleh menyumbat liang roma
  • Elakkan menggaru, menekan ataupun mengeluarkan jerawat. Sebab ia boleh menyebabkan jangkitan kuman pada kawasan tersebut dan juga boleh menyebabkan parut.

Jika maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa

Rujukan:

  1. American Academy of Dermatology.
  2. The Merck Manual, Seventeenth Edition.
  3. Thiboutot D, Gollnick H, Bettoli V, Dréno B, Kang S, Leyden JJ, et al. New insights into the management of acne: an update from the Global Alliance to Improve Outcomes in Acne group. J Am Acad Dermatol. 2009 May. 60(5 Suppl):S1-50.
  4. Kellett SC, Gawkrodger DJ. The psychological and emotional impact of acne and the effect of treatment with isotretinoin. Br J Dermatol. 1999 Feb. 140(2):273-82.
  5. Collier CN, Harper JC, Cafardi JA, Cantrell WC, Wang W, Foster KW, et al. The prevalence of acne in adults 20 years and older. J Am Acad Dermatol. 2008 Jan. 58(1):56-9
Categories: Kulit

Dr Latif Saad

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa