250Shares

Sakit ari ari adalah salah satu simptom yang selalu berlaku dikalangan masyarakat. Kadang-kadang ia terlalu sakit hingga menyebabkan seseorang itu terpaksa pergi ke klinik ataupun hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kebanyakan punca daripada sakit ini adalah sesuatu yang biasa dan tidak terlalu berbahaya seperti sakit senggugut dan kencing kotor (jangkitan kuman pada tempat buang air). Ia juga akan dihadapi oleh wanita mengandung yang akan melahirkan anak. Kesakitan itu berlaku apabila rahim mengecut untuk melahirkan anak yang sedang dikandung.

Punca sakit ari ari

Sakit ari-ari mempunyai pelbagai punca dan penyebab. Ia boleh dibahagikan kepada punca daripada struktur reproduktif dan punca selain daripada itu.

Punca daripada struktur reproduktif

Terdapat beberapa penyebab daripada struktur reproduktif seperti:

  • Senggugut
  • Mengandung
  • Ovarian cyst
  • Endometriosis
  • Salphingitis (Jangkitan kuman pada tiub Fallopio)
  • Kandungan di luar rahim

Punca lain-lain

Terdapat punca-punca yang lain iaitu:

  • Jangkitan kuman pada buah pinggang (pyelonephritis
  • Nanah di sekeliling buah pinggang (Perinephric abscess)
  • Batu karang
  • Jangkitan pada pundi kencing
  • Jangkitan pada prostat
  • Kencing kotor (Jangkitan pada tempat buang air kencing)

Simptom dan tanda lain yang berkaitan dengan masalah ini

Pesakit yang mengalami masalah ini selalunya akan mempunyai simptom yang lain yang akan membezakan punca kepada penyakit tersebut

Simptom dan tanda tersebut adalah:

  • Senggugut: Selalunya sakit tersebut datang ketika waktu sebelum ataupun semasa haid
  • Endometriosis: Selalunya sakit tersebut datang dengan sangat teruk sebelum dan semasa haid. Pesakit juga selalunya akan sukar untuk hamil
  • Salphingitis: Pesakit akan mempunyai demam yang tinggi.
  • Kandungan luar rahim: Selalunya sakit itu bermula pada kawasan ari-ari dan merebak ke seluruh abdomen. Jika dibuat ujian mengandung daripada air kencing ia akan menunjukkan keputusan yang positif. Tetapi apabila diimbas menggunakan ultrasound, tiada kandungan di dalam rahim ataupun kelihatan kandungan di luar rahim
  • Jangkitan kuman pada buah pinggang: Akan mempunyai sakit yang kuat dibahagian pinggang
  • Jangkitan kuman pada pundi kencing ataupun kencing kotor: Selalunya sakit itu akan bertambah ketika membuang air

Penyiasatan

Beberapa penyiasatan yang perlu dilakukan adalah:

  • Ujian air kencing: Ini penting untuk membezakan sama ada berlakunya jangkitan kuman pada tempat buang air kecil ataupun disebabkan batu karang. Daripada ujian ini juga, seseorang itu boleh diuji samada sedang hamil ataupun tidak
  • Ujian Full blood count: Untuk melihat bacaan sel darah putih. Jika ia tinggi kemungkinan adanya jangkitan kuman
  • X-ray: Penting untuk melihat kehadiran batu karang
  • Ultrasound: Ia penting untuk melihat struktur reproduktif wanita, lokasi kandungan dan juga lokasi batu karang
  • Kultur daripada air kencing: Jika jangkitan kuman daripada air kencing susah untuk sembuh, kultur air kencing iaitu salah satu prosedur untuk membiakkan bakteria daripada air kencing itu akan dilakukan untuk melihat jenis bakteria tersebut. Oleh itu, rawatan yang lebih spesifik boleh diberikan kepada pesakit.

Rawatan Sakit Ari ari

Rawatan berkenaan masalah ini bergantung kepada puncanya. Sebagai contoh:

  • Kencing kotor dan jangkitan kuman buah pinggang: Rawatannya adalah dengan pemberian antibiotik
  • Kandungan luar rahim: Selalunya pembedahan akan dibuat untuk mengeluarkan kandungan tersebut. Ada juga prosedur lain yang tidak selalu dibuat iaitu dengan menyuntik sesuatu bahan kepada ibu dengan tujuan untuk membuatkan kandungan itu tidak menjadi.
  • Ovarian cyst : Selalunya bergantung kepada saiz dan keadaan. Jika saiz terlalu besar ataupun cyst itu terpulas menyebabkan pangkalnya tergeliat dan darah tidak dapat bergerak ke kawasan cyst, maka pembedahan perlu dibuat.
  • Endometriosis: Penyakit ini disebabkan sel yang menghasilkan darah haid hidup di luar rahim iaitu di dalam abdomen. Rawatan yang selalu diberikan adalah ubat untuk menghentikan darah haid daripada kawasan tersebut dan selalunya pesakit akan menjalani rawatan kesuburan supaya pesakit dapat mengandung. Waktu mengandung pesakit tidak akan menghadapi sakit tersebut kerana haid tidak datang
  • Batu karang: Bergantung kepada saiz. Kalau kecil selalunya doktor akan menasihati untuk meminum lebih banyak air untuk menghancurkan batu tersebut. Jika besar, prosedur untuk mengeluarkan batu tersebut perlu dibuat.

Bila perlu berjumpa doktor?

Jika pesakit mengalami sakit ari-ari berserta tanda tanda seperti ini, pesakit perlulah segera berjumpa dengan doktor. Ia adalah

  • Demam yang tinggi
  • Sakit ari ari yang melampau
  • Keputusan kehamilan daripada ujian air kencing yang positif berserta sakit yang teruk
  • Kencing keluar darah
  • Kencing keluar nanah
  • Mempunyai nanah yang meleleh daripada kemaluan

Rujukan:

  1. Donaldson, CK. “Acute Gynecologic Disorders”. Radiol Clin North Am. vol. 53. 2015 Nov. pp. 1293-307.
  2. Greenberger, NJ, Blumberg, RS, Burakoff, R. “Current Diagnosis & Treatment: Gastroenterology, Hepatology, & Endoscopy”. McGraw-Hill. 2012.
  3. Knudson, MP. “Evaluation of acute abdominal pain in adults”. Am Fam Physician. vol. 77. 2008 Apr 1. pp. 971-8.
  4. Longo, DL, Fauci, AS, Kasper, DL. “Harrison’s Principles of Internal Medicine”. McGraw-Hill. 2008.
  5. McCormack, WM. “Pelvic inflammatory disease”. N Engl J Med. vol. 330. 1994. pp. 115-119.
  6. Sumber featured image daripada: medicalxpress.com

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *