Sakit dada boleh datang dengan pelbagai keadaan daripada rasa seolah-olah dicucuk hinggalah perasaan tidak selesa pada dada. Kadang-kadang ia juga boleh datang dengan rasa pedih, seolah-olah terbakar ataupun seperti ditekan.

Sesetengah kes, kesakitan itu boleh pergi ke bahagian leher, rahang dan juga bahagian tangan kiri

Banyak jenis penyakit yang boleh menyebabkan sakit dada. Penyakit yang selalunya boleh menyebabkan kematian adalah yang berasal daripada jantung dan juga paru-paru.

Disebabkan sakit dada boleh menunjukkan sesuatu penyakit yang serius, pesakit dinasihati untuk berjumpa dengan doktor ketika mana menghadapi masalah tersebut.

Simptom dan Tanda Sakit dada

Sakit dada mempunyai karakter yang berlainan. Karakter-karakter tersebut boleh membezakan punca kepada sakit dada tersebut.

Sakit dada disebabkan masalah jantung

Walaupun kebanyakan sakit dada selalu dikaitkan dengan serangan sakit jantung. Tetapi kebanyakan mereka yang mempunyai serangan sakit jantung selalunya datang ke hospital disebabkan rasa tidak selesa pada bahagian dada.

Secara amnya, sakit dada yang berkaitan dengan serangan sakit jantung akan mempunyai beberapa karakter iaitu:

  • Rasa dada di tekan sehingga pernafasan menjadi susah.
  • Dada juga terasa ketat yang juga menyebabkan pernafasan menjadi susah
  • Kesakitan itu selalunya merebak ke bahagian leher, rahang dan tangan sebelah kiri
  • Kesakitan itu berterusan
  • Sesak nafas
  • Berpeluh dengan banyak
  • Rasa pening
  • Muntah

Sakit dada yang lain

Ia kadang-kadang susah untuk membezakan dengan sakit dada yang berkaitan dengan masalah jantung. Akan tetapi, ini adalah beberapa karakter sakit dada yang mungkin tiada kaitan dengan sakit jantung. Ianya adalah:

  • Pesakit mengalami rasa masam pada bahagian tekak
  • Susah untuk menelan
  • Sakit yang menjadi lebih teruk ataupun semakin baik apabila posisi badan berubah
  • Sakit yang menjadi lebih teruk ketika nafas ditarik dengan dalam
  • Dada menjadi sakit apabila ditekan

Penting untuk tahu jika seseorang itu mempunyai simptom pedih ulu hati, ia juga mungkin menunjukkan pesakit sedang mengalami serangan sakit jantung.

Punca sakit dada

Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan sakit dada

Masalah berkaitan dengan jantung

Contoh punca yang melibatkan masalah jantung adalah:

  • Serangan sakit jantung: Ia disebabkan salur darah pada bahagian jantung tersumbat
  • Angina: Adalah istilah yang merujuk kepada sakit jantung disebabkan kurangnya darah yang dibekalkan kepada kawasan jantung tersebut. Ia disebabkan plak yang terbina pada saluran darah menyebabkan saluran darah menjadi sempat. Jika plak tersebut pecah, ia boleh menjadi pembekuan darah disitu dan boleh menyebabkan serangan sakit jantung
  • Aortic dissection: Ini adalah keadaan yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Lapisan dalam saluran darah pada bahagian jantung iaitu aorta terkoyak menyebabkan darah tidak boleh dipam secara efisien ke bahagian badan yang lain.
  • Pericarditis: adalah keradangan pada lapisan yang menyelaputi jantung iaitu lapisan pericardial. Ia selalunya menyebabkan rasa sakit yang tajam dan menjadi lebih teruk apabila kita menarik nafas ataupun dalam keadaan baring.

Punca daripada masalah pencernaan

Sakit dada juga boleh berpunca daripada sistem pencernaan. Ianya termasuk:

  • Masalah gastrik: Selalunya pesakit akan mengadu pedih ulu hati dan ia boleh merebak ke bahagian dada.
  • Masalah pundi hempedu dan juga pankreas: Batu hempedu ataupun keradangan pada pundi hempedu atau pankreas boleh menyebabkan sakit di bahagian abdomen yang merebak ke bahagian dada

Punca daripada otot dan tulang

Ada sesetengah sakit dada berasal daripada masalah di bahagian otot dan tulang di kawasan dada. Beberapa masalah tersebut adalah:

  • Costochondritis: Keadaan ini disebabkan keradangan dikawasan tisu rawan yang menyambungkan tulang rusuk dan juga tulang sternum iaitu tulang dikawasan tengah dada. Selalunya pesakit akan mengadu sakit ketika mana menarik nafas dengan dalam ataupun ketika dada ditekan.
  • Sakit otot: Pesakit yang mengalami batuk yang teruk boleh menyebabkan otot di bahagian dada menjadi sakit.

Punca daripada paru-paru

Kebanyakan masalah paru-paru boleh menyebabkan sakit dada. Ianya adalah:

  • Pulmonary embolism: Keadaan ini berlaku apabila darah beku menyumbat saluran darah dibahagian paru-paru. Ini menyebabkan darah tidak dapat pergi ke paru-paru
  • Pneumothorax: Adalah satu keadaan dimana paru-paru pecah menyebabkan udara masuk ke dalam ruangan diantara paru-paru dan juga dinding dada. Paru-paru pula akan mengecil. Jika tidak dirawat awal ia boleh menyebabkan kematian kepada pesakit
  • Kanser paru-paru
  • Jangkitan paru-paru
  • Batuk kering

Punca-punca lain

Terdapat juga punca-punca lain yang boleh menyebabkan sakit dada. Ianya adalah:

  • Serangan panik(Panic attack): Jika seseorang yang mempunyai serangan panik, selalunya sakit dada itu datang ketika rasa takut yang datang secara tiba-tiba menyebabkan anda rasa sakit dada, degupan jantung yang laju, susah bernafasa dan berpeluh dengan banyaknya
  • Kayap: Kayap yang berlaku dibahagian kulit dada juga boleh menyebabkan rasa sakit dibahagian tersebut.

Penyiasatan

Sakit dada tidak semestinya merujuk kepada serangan sakit jantung. Tetapi perkara itulah yang akan disiasat oleh doktor terlebih dahulu agar serangan sakit jantung tersebut boleh dirawat pada awal waktunya.

Beberapa prosedur yang boleh dilakukan untuk mengesan punca kepada masalah tersebut adalah:

  • Electrocardiogram(ECG): Ujian ini adalah untuk mengesan gelombang elektrik dibahagian jantung untuk melihat samada pesakit sedang mengalami serangan sakit jantung ataupun tidak.
  • Ujian darah: Pengambilan darah untuk melihat beberapa jenis bacaan protein seperti Troponin T ataupun creatine kinase adalah penting untuk menentukan seseorang itu sedang mengalami serangan sakit jantung ataupun tidak. Selalunya bacaan ini hanya akan diambil jika seseorang itu mengalami perubahan dalam gelombang ECG sahaja
  • X-ray dada: Ujian x-ray di bahagian dada diperlukan untuk melihat keadaan jantung dan juga paru-paru

Rawatan

Rawatan sakit dada adalah berdasarkan punca kepada sakit dada tersebut. Beberapa jenis ubat yang digunakan untuk merawat sakit dada adalah:

  • Aspirin: Ia digunakan untuk mencairkan darah supaya peredaran darah di bahagian jantung menjadi normal semula. Digunakan bagi serangan sakit jantung
  • Ubat Thrombolytic. Ubat ini digunakan untuk menguraikan darah yang sudah membeku terutamanya ketika menghadapi serangan sakit jantung. Contoh ubat adalah streptokinase
  • Ubat gastrik. Digunakan untuk merawat masalah gastrik

Beberapa prosedur lain yang boleh digunakn untuk merawat sakit jantung adalah:

  • Angioplasty dan juga pembukaan salur darah yang tersumbat dengan meletakkan cincin pada kawasan yang terlibat.
  • Pembedahan ‘bypass’: Ia dibuat dengan meletakkan satu salur darah lain yang akan mengikuti jalan pintas supaya ia tidak perlu melalui salur darah yang sudah tersumbat.

Rujukan

  1. Tintinalli JE, et al. Chest pain. In: Tintinalli’s Emergency Medicine: A Comprehensive Study Guide. 8th ed. New York, N.Y.: The McGraw Hill Companies; 2016
  2. McKean SC, et al. Chest pain. In: Principles and Practice of Hospital Medicine. New York, N.Y: The McGraw-Hill Companies; 2012
  3. Light RW. Primary spontaneous pneumothorax in adults. https://www.uptodate.com/contents/search.

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa