Serangan sakit jantung ataupun dalam istilah perubatannya ‘Acute Coronary Syndrome’ merupakan salah satu penyakit utama yang menyebabkan kematian di Malaysia. Ia selalu dikaitkan dengan kematian yang berlaku secara tiba-tiba.

1. Pengenalan

Serangan sakit jantung dipanggil sebagai ‘Acute Coronary Syndrome’ dalam istilah perubatan.¬†Perlu diketahui bahawa serangan sakit jantung adalah satu istilah yang umum untuk mengambarkan sakit pada bahagian dada disebabkan masalah jantung.

Akan tetapi dalam perubatan ia dinamakan sebagai ‘acute coronary syndrome’ kerana masalah ini boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu.

  1. ST-Elevation Myocardial Infarction(STEMI)
  2. Non ST-Elevation myocardial infarction(NSTEMI)
  3. Unstable angina

Kita huraikan sedikit istilah ini supaya kita tidak konfius.

  • Myocardial merujuk kepada myocardium iaitu otot jantung itu sendiri.
  • Infarction pula bermaksud kematian sel disebabkan kurangnya oksigen yang pergi ke kawasan tersebut.
    Oleh itu, myocardial infarction merujuk kepada kematian sel jantung disebabkan kurangnya oksigen
  • Angina pula bermaksud sakit dibahagian dada disebabkan kurangnya oksigen pergi ke bahagian otot jantung tersebut.
  • Unstable angina pula bermaksud sakit dada itu(angina) datang secara tiba-tiba walaupun pada ketika itu pesakit tengah berehat atau tidak membuat kerja berat. Berlainan dengan stable angina iaitu sakit dada yang berlaku hanya pada waktu membuat kerja berat.

Dalam unstable angina, ia tidak menyebabkan kematian sel. Tetapi ia menyebabkan kesakitan pada bahagian dada disebabkan kekurangan oksigen pada bahagian jantung yang tertentu

Tetapi dalam STEMI ataupun NSTEMI, ia melibatkan kematian sel. Sebab itu kita namakan ia sebagai myocardial infarction. Infarction bermaksud kematian sel.

ST-elevation ataupun Non ST elevation itu adalah bacaan yang ditemui pada electrocardiogram(ECG) iaitu bacaan arus elektrik pada bahagian jantung. ST-elevation adalah lebih bahaya daripada non ST-elevation kerana seluruh ketebalan dinding jantung mengalami kekurangan bekalan oksigen dan ia boleh menyebabkan kematian sel pada kawasan tersebut.

Ia dibahagikan kepada 3 jenis kerana mempunyai rawatan yang berbeza terutamanya mereka yang mengalami ST-Elevetation Myocardial Infarction(STEMI).

Untuk orang awam mungkin kita boleh bahagikan kepada 2 jenis serangan sakit jantung iaitu:

  1. Serangan sakit jantung yang menyebabkan kematian sel jantung(Myocardial infarction)
  2. Serangan sakit jantung yang tidak menyebabkan kematian sel jantung(Unstable angina)

2. Simptom dan Tanda Tanda sakit jantung

Simptom dan tanda yang selalu dialami oleh mereka yang mengalami serangan sakit jantung adalah:

  • Rasa sakit dada selalunya pada bahagian kiri
  • Sakit itu selalunya digambarkan seperti dada yang ditekan kuat. Akan tetapi ada juga pesakit yang mengambarkan ia seperti rasa terbakar, sakit seperti dicucuk dan pedih ulu hati
  • Sakit tersebut boleh merebak ke leher bahagian kiri dan juga tangan kiri
  • Berpeluh dengan melampau(Diaphoresis)
  • Sesak nafas
  • Rasa berdebar-debar
  • Pengsan ataupun rasa hendak pengsan

Bagi pesakit yang mempunyai kencing manis, kadang-kadang simptomnya tidak tipikal seperti sakit jantung biasa. Ada daripada mereka yang hanya mengadu sesak nafas sahaja tanpa mempunyai rasa sakit di dada. Ada pula yang hanya berasa pedih ulu hati sahaja dan menyangka ia disebabkan masalah gastrik, sedangkan dia sedang mengalami serangan sakit jantung pada ketika itu.

Perkara ini tejadi disebabkan kencing manis telah merosakkan saraf yang membawa maklumat sakit dikawasan tersebut.

3. Punca Sakit Jantung

Majoriti serangan sakit jantung adalah disebabkan masalah atherosclerosis iaitu penebalan saluran darah disebabkan terkumpulnya cholesterol dibahagian tersebut. 90% daripada serangan sakit jantung adalah berasal daripada thrombus iaitu darah beku.

Thrombus(Darah beku) terhasil apabila atherosclerosis plug pada saluran darah pecah. Atherosclerosis plug merupakan benjolan pada dinding saluran darah disebabkan pengumpulan kolesterol padanya. Apabila terdapat benjolan tersebut, tekanan pada saluran darah tersebut akan meningkat. Ia boleh diibaratkan seperti empangan. Akan tetapi empangan tersebut lemah, ia akan pecah dan mendedahkan bahagian lapisan dalam dinding saluran darah.

Apabila atherosclerosis plug tersebut pecah, secara automatiknya ia mencetuskan mekanisma pembekuan darah. Sama seperti luka. Pendarahan akan tetap berlaku tetapi ia dihentikan dengan pembekuan darah. Tetapi dalam serangan sakit jantung, pembekuan darah itu berlaku dalam saluran darah. Jika ia terlalu besar, ia akan menutup saluran darah dan menyebabkan kurangnya bekalan darah ke bahagian terlibat.

Jika kurang darah, maka kurang oksigen yang sampai menyebabkan sel tersebut mati dan inilah yang menyebabkan sakit dibahagian dada

4. Faktor Risiko

Faktor risiko boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu faktor risiko yang boleh diubahsuai dan yang tidak boleh diubah.

Faktor risiko yang tidak boleh diubah

  • Umur. Semakin meningkat umur, semakin berisiko untuk menghadapi serangan sakit jantung
  • Jantina. Lelaki lebih berisiko untuk mengalami serangan sakit jantung
  • Sejarah keluarga. Adik-beradik ataupun ibubapa yang mengalami serangan sakit jantung akan membuatkan anda berisiko untuk mengalami perkara yang sama

Faktor risiko yang boleh diubah:

  • Merokok. Mereka yang merokok sangat berisiko untuk mengalami serangan sakit jantung. Pada beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat trend sakit jantung dikalangan individu yang masih muda disebabkan merokok walaupun mangsa tidak mempunyai kencing manis ataupun darah tinggi.
  • Kolesterol yang tinggi
  • Kencing manis
  • Tekanan darah tinggi
  • Kegagalan buah pinggang
  • Obes
  • Tekanan perasaan(Stres psikososial)
  • Amalan cara hidup yang tidak sihat
  • Type A personality
  • Bacaan homocysteine yang tinggi

Perlu diketahui bahawa semua perkara diatas membawa kepada berlakunya masalah atherosclerosis sebelum mengalami serangan sakit jantung.

Kajian yang mampan telah dibuat menunjukkan bahawa artherosclerosis berlaku disebabkan keradangan(Inflammation) di dalam saluran darah.

Penyakit kencing manis, obesiti, tekanan perasaan dan suka merokok mempunyai kaitan yang rapat dengan peningkatan radikal bebas yang tinggi dalam saluran darah. Radikal bebasiInilah yang menyebabkan keradangan tersebut.

5. Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang menunjukkan simptom yang sama:

6. Penyiasatan

Terdapat beberapa penyiasatan yang dilakukan untuk mengesan masalah ini.

Electrocardiogram

Apabila seseorang pesakit datang dengan masalah sakit dada, sesak nafas, sakit ulu hati, dan berdebar-debar, doktor selalunya akan melakukan satu prosedur untuk mengetahui gelombang elektrik dijantung. Mesin yang digunakan adalah elecrocardiogram(ECG).

Terdapat beberapa jenis bacaan yang menunjukkan pesakit mengalami serangan sakit jantung. Oleh itu, penggunaan alat ini sangat membantu perawat kesihatan dalam menentukan rawatan dan pengesahan diagnosa pesakit

Pengambilan sampel darah

Sampel darah diambil untuk beberapa tujuan seperti untuk melihat bilangan sel darah dalam badan, kandungan oksigen, fungsi hati dan buah pinggang dan sebagainya.

Tetapi dalam pesakit yang disyaki mengalami sakit jantung, sampel darah untuk mengetahui bahawa berlakunya kematian sel myocardium(sel otot jantung) perlu diambil.

Apabila matinya sel myocardium, ia akan melepaskan beberapa jenis protein daripada sel tersebut dan protein inilah yang kita akan periksa.

Dua jenis protein yang selalu diperiksa adalah Troponin dan juga Creatine Kinase MB. Jika bacaannya meningkat bermaksud pesakit telah mengalami ‘myocardial infarction’. Akan tetapi, jika bacaan bagi kedua-dua protein itu normal cuma ECG sahaja mempunyai bacaan yang tidak normal, maka kita akan kata pesakit mengalami ‘unstable angina.

X-ray

Jika pesakit disyaki mempunyai masalah lain seperti pneumothorax, pengimejan seperti x-ray dada perlu dibuat. Pneumothorax adalah pengumpulan udara dalam ruang diantara paru-paru dan dinding dada

X-ray juga boleh dibuat untuk mengetahui tahap serangan sakit jantung. Sakit jantung yang teruk akan menyebabkan air masuk ke dalam kawasan alveolar paru-paru menyebabkan paru-paru kelihatan putih lebih daripada biasa.

Angiografi

Angiografi adalah salah satu cara untuk mengesahkan samada terdapat sumbatan pada saluran darah bahagian jantung. Prosedur tersebut melibatkan satu wayar yang dimasukkan melalui saluran darah dibahagian pangkal peha. Wayar itu akan ditolak masuk sehingga ke bahagian jantung dan x-ray akan digunakan untuk melihat bahagian salur darah mana yang tersumbat.

Setelah mengesahkan berapa banyak salur darah yang tersumbat, rawatan yang seterusnya akan ditentukan iaitu sama ada cukup dengan hanya meletak ‘stent’ ataupun memerlukan pembedahan untuk memintas kawasan saluran darah jantung yang tersumbat(Coronary artery bypass graft)

7. Rawatan

Rawatan boleh dibahagikan kepada rawatan awal dan rawatan spesifik di hospital

Rawatan awal

Setelah ECG dibuat dan disahkan mengalami serangan sakit jantung, beberapa rawatan awal akan diberikan supaya keadaan serangan sakit jantung tersebut tidak menjadi semakin teruk. Ianya adalah:

  • Pemberikan oksigen melalui tiub oksigen(Nasal prong) ataupun ‘face mask’.
  • Penggunaan ubat untuk mengelakkan pembekuan darah seperti aspirin dan juga clopidogrel
  • Ubat jenis Glyceryl trinitrate iaitu ubat yang selalu diletakkan dibawah lidah. Ia berfungsi untuk membesarkan lagi diameter salur darah supaya darah dapat mengalir dengan lebih mudah
  • Unat tahan sakit seperti morphine. Morphine juga dapat membuka salur darah dan menyebabkan darah lebih mudah untuk mengalir

Rawatan spesifik

Apabila ECG dibuat, penting untuk perawat kesihatan membezakan serangan sakit jantung yang mempunyai kenaikan ST(ST-elevation) ataupun tidak. Ini kerana rawatannya adalah berbeza.

1) Rawatan serangan sakit jantung yang melibatkan kenaikan-ST(ST elevation Myocardial Infarction)

Serangan jantung jenis ini memerlukan rawatan untuk mencairkan pembekuan darah yang sudah terbentuk. Ianya boleh dilakukan dengan dua cara iaitu ‘Percutenous coronary intervention’(PCI) ataupun Fibrinolysis

Rawatan ‘Percutenous Coronary intervention'(PCI) merupakan rawatan yang paling berkesan untuk merawat serangan sakit jantung jenis ini kerana ia terbukti mengurangkan komplikasi dan memberi kesembuhan yang lebih kepada pesakit berbanding rawatan fibrinolysis.

Dalam rawatan PCI, satu wayar dimasukkan daripada salur darah dibahagian peha. Wayar itu ditolak sehingga sampai ke salur darah bahagian jantung satu ‘stent’ iaitu objek berbentuk cincin akan diletakkan dikawasan tersebut. Ia akan dikembangkan dan membuka kawasan yang tersumbat tadi menyebabkan darah dapat bergerak seperti biasa.

Untuk rawatan ‘fibrinolysis’ pula ia melibatkan penggunaan ubat untuk mencairkan darah yang beku tadi. Akan tetapi ia juga mempunyai komplikasi seperti pendarah pada tempat yang lain seperti dibahagian otak, tekanan darah menjadi rendah dan beberapa komplikasi yang lain. Pesakit perlu diperhatikan secara dekat ketika melakukan prosedur ini.

2) Rawatan untuk serangan sakit jantung yang tidak melibatkan kenaikan ST(Non ST-elevation)

Rawatan untuk serangan sakit jantung jenis ini selalunya hanya melibatkan penggunaan ubat. Ubat yang selalu diberikan adalah ubat untuk mengelakkan pembekuan darah seperti ‘low molecular weight heparin’ ataupun enoxaparin.

Pesakit mungkin akan diberikan temujanji untuk membuat angiografi selepas itu untuk melihat sumbatan dibahagian jantung.

8. Komplikasi

Beberapa komplikasi boleh terjadi disebabkan serangan sakit jantung. Ianya adalah

  • Ritma jantung yang tidak normal. Selalunya ritma jantung berada pada julat waktu yang sama. Akan tetapi serangan sakit jantung akan mengganggu laluan maklumat di dalam jantung menyebabkan rentang jantung tersebut tidak mengikut ritma yang normal dan berubah-ubah. Perkara ini akan menyebabkan aliran darah di dalam jantung menjadi tidak normal dan boleh menyebabkan pembekuan darah didalam jantung. Darah yang beku ini pula boleh terlepas kebahagian otak dan menyebabkan angin ahmar(stroke).
  • Dinding tengah jantung yang pecah(ventricular septal rupture). Ini akan menyebabkan darah daripada sebelah kiri yang membawa oksigen bercampur dengan darah di sebelah kanan yang membawa darah yang kurang oksigen.
  • Terdapat beberapa komplikasi yang boleh berlaku disebabkan serangan sakit jantung seperti left ventricular aneurysm, papillary muscle rupture dan lain-lain lagi

Bacaan yang berkaitan: Bagaimana tekanan darah tinggi menyebabkan sakit jantung dan Angin Ahmar?

Jika maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa

Rujukan:

  1. Amsterdam EA, Wenger NK, Brindis RG, Casey DE Jr, Ganiats TG, Holmes DR Jr, et al. 2014 AHA/ACC guideline for the management of patients with non-ST-elevation acute coronary syndromes: a report of the American College of Cardiology/American Heart Association Task Force on Practice Guidelines. Circulation. 2014 Dec 23. 130 (25):e344-426.
  2. Costa e Silva R, Pellanda L, Portal V, Maciel P, Furquim A, Schaan B. Transdisciplinary approach to the follow-up of patients after myocardial infarction. Clinics (Sao Paulo). 2008 Aug. 63 (4):489-96.
  3. McGill HC Jr, McMahan CA, Zieske AW, et al. Associations of coronary heart disease risk factors with the intermediate lesion of atherosclerosis in youth. The Pathobiological Determinants of Atherosclerosis in Youth (PDAY) Research Group. Arterioscler Thromb Vasc Biol. 2000 Aug. 20 (8):1998-2004
  4. Kolodgie FD, Virmani R, Burke AP, et al. Pathologic assessment of the vulnerable human coronary plaque. Heart. 2004 Dec. 90 (12):1385-91.
  5. Chatzizisis YS, Coskun AU, Jonas M, Edelman ER, Feldman CL, Stone PH. Role of endothelial shear stress in the natural history of coronary atherosclerosis and vascular remodeling: molecular, cellular, and vascular behavior. J Am Coll Cardiol. 2007 Jun 26. 49(25):2379-93.
  6. Wang JC, Normand SL, Mauri L, Kuntz RE. Coronary artery spatial distribution of acute myocardial infarction occlusions. Circulation. 2004 Jul 20. 110(3):278-84
  7. Levi F, Lucchini F, Negri E, La Vecchia C. Trends in mortality from cardiovascular and cerebrovascular diseases in Europe and other areas of the world. Heart. 2002 Aug. 88 (2):119-24.
  8. Featured image dari qualityoflifeandhealth.com
Categories: Perubatan

Dr Latif Saad

Merupakan Seorang Doktor Perubatan. Pengasas kepada FB Page Root of Science dan juga e-Diagnosa. Follow juga wall personal saya di SINI

3 Comments

Tidur lepas bersenam lewat malam menyebabkan sakit jantung? - Root of Science · at

[…] Minggu lepas viral satu post yang mengatakan mereka yang terus tidur lepas bersenam lewat malam boleh menyebabkan serangan sakit jantung […]

MERUNGKAI MITOS: GELETEK ANAK BOLEH MENYEBABKAN SAKIT JANTUNG?? - Root of Science · at

[…] viral satu post yang mengatakan anak boleh kena serangan sakit jantung jika kita menggeleteknya. Post ini bukanlah memberi saranan untuk anda menggeletek anak-anak anda. […]

Kolesterol dalam makanan tidak akan meningkatkan kolesterol dalam badan. Korang tahu tak? - Root of Science · at

[…] yang boleh meningkatkan kolesterol juga. ***Peningkatan kolesterol LDL boleh menyebabkan serangan sakit jantung dan […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *