172Shares

Sakit kepala selalu dihadapi oleh majoriti individu di dalam masyarakat. Mereka mungkin akan menghadapinya sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup. Sakit ini mempunyai pelbagai jenis bergantung kepada punca dan memerlukan rawatan yang berlainan

Setelah anda mengetahui jenis-jenis sakit tersebut, barulah perawat kesihatan akan dapat merawat menggunakan ubat yang sesuai untuk masalah tersebut

Jenis-jenis sakit kepala

Terdapat pelbagai jenis sakit kepala. Tetapi yang selalu berlaku di dalam masyarakat adalah:

1. Sakit kepala jenis tegang (Tension-type headaches): Ini merupakan jenis sakit yang selalu berlaku pada remaja dan juga orang dewasa. Ia menyebabkan rasa tegang ataupun menekan pada bahagian dahi, belakang kepala ataupun belakang leher.

Ia boleh menyebabkan kesakitan yang sedikit ataupun sederhana. Selalunya ia akan datang dan pergi dengan sendirinya tanpa ada simptom yang lain

2. Migrain: Pesakit selalunya mengalami sakit kepala yang kuat. Pesakit akanĀ  menyatakan sakit tersebut seolah-olah berdenyut. Ia boleh berlaku selama 4 jam sehingga 4 hari dan selalunya pesakit akan mengalaminya 1 hingga 4 kali dalam sebulan.

Pesakit juga akan mengalami simptom lain seperti rasa loya, muntah, menghidu bau yang pelik dan beberapa simptom yang lain

3. Sakit kepala berkelompok (Cluster headache): Pesakit akan mengadu sakit yang teramat seolah-olah seperti dicucuk selalunya dibahagian belakang mata. Ia mungkin rasa seperti berdenyut ataupun berterusan sakit.

Ia merupakan jenis sakit yang tidak selalu berlaku pada masyarakat tetapi paling teruk kesakitannya. Ia akan menyebabkan seseorang itu tidak dapat duduk diam ketika sakit tersebut berlaku dan pesakit juga akan terbangun dari tidur jika sakit tersebut menyerang. Kadang-kadang ia menyebabkan mata menjadi merah dan keluar air mata.

Ia dipanggil sakit kepala berkelompok kerana ia akan kerap berlaku pada sesetengah waktu. Sebagai contoh dalam setahun ia mungkin berlaku kerap pada bulan Jun minggu pertama sahaja. Pada minggu tersebut pesakit akan mengalami sakit tersebutsekali sehari selama 15 minit hingga ke 3 jam. Selepas daripada minggu tersebut sakit tersebut hilang secara sepenuhnya.

Pesakit mungkin akan tidak mempunyai simptom tersebut buat beberapa tahun dan ianya boleh datang semula.

4. Sakit kepala sinus(Sinus headache): Sakit jenis ini adalah disebabkan masalah sinus kerana berlakunya jangkitan kuman pada bahagian sinus iaitu rongga pada bahagian tengkorak muka. Jangkitan tersebut menyebabkan sakit pada bahagian dahi, pipi dan juga bahagian atas hidung.

Simptom lain yang boleh dihadapi oleh pesakit adalah selesema, demam dan juga bengkak di bahagian muka. Perkara ini juga dikenali sebagai sinusitis ataupun masalah keradangan sinus.

Jika anda mengalami sakit kepala yang terlampau kerap ataupun pada ketika itu terlampau teruk, anda perlulah berjumpa dengan doktor. Kerana ia adalah petanda penyakit yang teruk seperti meningitis ataupun kanser otak

Apakah Punca Sakit Kepala?

Kesakitan yang anda hadapai ketika sakit tersebut mungkin disebabkan campuran maklumat diantara otak, pembuluh darah dan juga saraf berdekataan.

Pesakit selalu mengalami simptom ini disebabkan:

Tidak sihat: Mungkin disebabkan jangkitan kuman, selesema ataupun demam. Masalah ini selalu berlaku pada pesakit yang mengalami jangkitan sinus ataupun dipanggil sebagai sinusitis. Ia juga boleh disebabkan jangkitan pada tekak dan telinga. Ia juga boleh disebabkn jangkitan kuman pada selaput otak ataupun dikenali sebagai meningitis.

Stress: Tekanan emosi dan juga penggunaan alkohol, makan tidak mengikut masa dan perubahan corak tidur boleh menyebabkan otot mata letih dan sakit. Ia juga akan menyebabkan kesakitan dibahagian tengkuk dan belakang badan

Persekitaran: Bau rokok, bau yang kuat daripada pewangi rumah dan beberapa jenis makanan boleh menyebabkan sakit kepala berlaku. Persekitaran yang stress, bunyi yang kuat, cahaya yang terlalu malap ataupun terang dan perubahan cuaca jugak boleh menyebabkan seseorang itu mengalami sakit tersebut.

Genetik ataupun keturunan: Sakut kepala jenis migrain selalunya berlaku dikalangan ahli keluarga. Sesiapa yang mengalami ahli keluarga yang mempunyai migrain, dia mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami masalah yang sama

Aktiviti fizikal yang terlampau banyak juga boleh menyebabkan seseorang itu letih dan sakit kepala.

Penyiasatan untuk mengetahui diagnosa

Apabila punca kepada sakit kepala tersebut diketahui, anda boleh memulakan rawatan yang betul untuk merawat masalah tersebut.

Pertamanya doktor selalunya bertanya berkenaan karakter sakit kepala tersebut supaya ia boleh jenis sakit kepala tersebut dapat dikenalpasti.

Selalunya pesakit tidak memerlukan penyiasatan yang selanjutnya kecuali sakit kepala tersebut sangat kerap, terlampau sakit dan melibatkan simptom saraf seperti kelumpuhan, sawan ataupun perangai pesakit yang berubah.

Pesakit seperti ini memerlukan pengimejan bahagian otak dengan menggunakan CT-Scan ataupun MRI. Ia diperlukan untuk menyiasat penyakit yang serius seperti kanser otak, meningitis mahupun enchephalitis.

Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa penyakit yang menunjukkan simptom yang sama. Ianya adalah:

  1. Kanser Otak
  2. Meningitis (Jangkitan selaput otak)
  3. Encephalitis (Jangkitan otak)
  4. Berry Aneurysm (Saluran darah yang membesar seperti buah beri dalam otak)
  5. Pendarahan dalam otak
  6. Angin Ahmar/strok
  7. Tekanan darah tinggi

Rawatan

Rawatan adalah bergantung kepada jenis sakit kepala. Jika jenis sakit kepala dapat diketahui, maka lebih tepat rawatan yang diterima.

Untuk jenis Sakit kepala jenis tegang (Tension type headache), selalunya pesakit akan dinasihatkan untuk mengawal stress dengan lebih bagus, mengamalkan postur duduk yang betul, tidak tidur terlalu lewat dan makan mengikut waktunya. Pesakit juga akan diberikan ubat tahan sakit untuk sakit kepala tersebut.

Tetapi yang paling penting bagi pesakit ini, untuk mengawal stress dan tekanan yang pesakit itu ada.

Untuk sakit kepala jenis migrain pula, boleh rujuk link ini untuk pembacaan rawatan yang sepenuhnya.

Bagi pesakit jenis sakit kepala berkelompok (Cluster headache), pesakit ini boleh mengambil ubat jenis ‘triptans’. Ia berfungsi untuk mengecutkan saluran darah supaya tekanan dalam saluran darah meningkat dan perjalanan darah semakin lancar ke bahagian otak. Ubat ini dikatakan boleh memberhentikan sakit kepala yang sedang berlaku. Tetapi ia perlulah dipriskripsikan oleh doktor perubatan.

Rujukan:

  1. National Headache Foundation
  2. Matharu M. Cluster headache. Clin Evid (Online). 2010 Feb 9. 2010
  3. The International Classification of Headache Disorders: 2nd edition. Cephalalgia. 2004. 24 Suppl 1:9-160.
  4. Holle D, Obermann M, Katsarava Z. The electrophysiology of cluster headache. Curr Pain Headache Rep. 2009 Apr. 13(2):155-9.
  5. The International Classification of Headache Disorders, 3rd edition (beta version). Cephalalgia. 2013 Jul. 33(9):629-808.
Categories: Perubatan

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

2 Comments

Meningitis: Punca, Simptom dan Rawatan - TheDiagnosa · March 7, 2018 at 9:00 am

[…] Sakit kepala yang melampau […]

Keradangan Sinus: Punca, Simptom dan Cara Rawatan - The Diagnosa · April 18, 2018 at 3:49 am

[…] Sakit kepala […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *