Sakit ataupun pedih ulu hati adalah kesakitan ataupun rasa tidak selesa yang berlaku pada bahagian di antara dada dan juga abdomen. Selalunya ia juga akan menyebabkan simptom pencernaan yang lain seperti perut rasa sebu dan rasa kembung.

Pedih ulu hati selalunya tidak mendatangkan kerisauan kepada kebanyakkan orang terutamanya mereka yang mengalami masalah ini selepas makan. Ia mungkin disebabkan gastrik ataupun asid yang ditolak balik naik ke saluran esofagus.

Punca Ulu hati

Punca ulu hati yang selalu berlaku adalah disebabkan asid yang terhasil daripada dalam perut menghakis samada dinding perut ataupun dinding esofagus. Ini menyebabkan bahagian dinding disitu luka dan keradangan berlaku.

Tetapi ada juga beberapa punca lain yang menyebabkan kesakitan dibahagian ulu hati.

Beberapa punca tersebut adalah:

  • Terlebih makan: Ketika mana makanan diambil terlebih, ia akan menyebabkan makanan itu naik semula kebahagian esofagus bersama-sama dengan asid. Asid ini akan menghakis dinding esofagus dan menyebabkan pedih ulu hati
  • Masalah gastrik: Apabila lapisan perlindungan perut menjadi nipis disebabkan jangkitan bakteria H pylori, asid di dalam perut akan mula menghakis dinding perut dan menyebabkan sakit ulu hati
  • Refluks asid: Ia berlaku apabila seseorang itu telah selesai makan, makanan tersebut boleh tertolak semula bersama-sama dengan asid, naik ke dalam esofagus.
  • Hiatal hernia: Sebahagian daripada organ perut tertolak ke dalam bahagian dada melalui rongga hiatal. Ini menyebabkan kawasan tersebut menghasilkan asid yang akan naik ke atas esofagus.
  • Batu hempedu: Batu hempedu juga boleh menyebabkan keradangan di bahagian hempedu dan menyebabkan sakit dibahagian ulu hati. Oleh sebab itu, jika seseorang itu yang mempunyai pedih ulu hati tetapi pemeriksaan mendapati perutnya normal, doktor akan teruskan dengan pemeriksaan ultrasound untuk mengesan batu hempedu.
  • Serangan Sakit Jantung: Walaupun Jantung terletak jauh sedikit daripada bahagian uluhati, ia juga boleh menyebabkan simptom itu kerana saraf yang membawa rasa sakit daripada jantung dan kawasan ulu hati adalah sama.

Bila perlu berjumpa dengan doktor?

Sila jumpa doktor secepat mungkin jika simptom tersebut sangat teruk. Pesakit juga perlu berjumpa dengan doktor jika pesakit:

Jika simptom tidak teruk tetapi berterusan lebih daripada seminggu, pesakit juga perlulah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjutan.

Rawatan pedih ulu hati

Rawatan pedih ulu hati adalah bergantung kepada punca masalah tersebut. Jika pesakit mengetahui punca masalah ini adalah masalah gastrik dan ianya tidak terlalu serius, pesakit boleh cuba merawat di rumah terlebih dahulu.

Selalunya bagi pesakit yang mempunyai masalah gastrik, kita akan nasihatkan mereka untuk:

  • Mengelakkan makanan pedas dan mempunyai cuka
  • Elakkan daripada makan dengan kuantiti yang banyak
  • Jika anda risau dengan keadaan perut kosong yang boleh menyebabkan masalah gastrik berlaku, anda boleh makan dengan lebih kerap tetapi dalam kuantiti yang sedikit
  • Anda boleh mengambil ubat alkali seperti magnesium tricylicate di kaunter farmasi untuk mengurangkan masalah gastrik itu.

Jika sakit gastrik ini terlalu teruk dan/atau menyebabkan sesak nafas, pesakit dinasihati untuk terus berjumpa doktor diklinik untuk pemeriksaan lanjut kerana ia mungkin menjadi salah satu simptom serangan sakit jantung.

Rujukan:

  1. Gastritis. (2015).niddk.nih.gov/health-information/digestive-diseases/gastritis
  2. Mayo Clinic Staff. (2014). GERD: Definition. Mayoclinic.org/diseases-conditions/gerd/basics/definition/con-20025201
  3. Mayo Clinic Staff. (2014). Heartburn: Symptoms. mayoclinic.org/diseases-conditions/heartburn/basics/symptoms/con-20019545
  4. Mayo Clinic Staff. (2015). Hiatal hernia: Symptoms.. mayoclinic.org/diseases-conditions/hiatal-hernia/basics/symptoms/con-20030640
Categories: Simptom

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa