Sakit sendi dalam istilah perubatan dikenali sebagai arthritis. Ia merangkumi lebih kurang 100 jenis penyakit yang boleh menyebabkan sakit sendi berlaku. Majoriti daripada sakit sendi ini berlaku disebabkan umur usia yang meningkat menyebabkan fungsi struktur dikawasan sendi tersebut merosot.

Sendi adalah tempat yang menghubungkan tulang dan ia juga membenarkan pergerakan. Sebagai contoh dikawasan bahu, siku, lutut dan juga pergelangan tangan.

Ketika mana umur meningkat, struktur dikawasan tersebut tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya menyebabkan ruang dalam sendi tersebut berkurangan dan tulang boleh bergesel di antara satu sama lain. Perkara inilah yang menyebabkan kecederaan tisu dikawasan tersebut dan keradangan pun berlaku.

Punca Sakit Sendi

Terdapat pelbagai jenis sakit sendi (arthritis). Tetapi faktor risiko yang meningkatkan kebarangkalian seseorang itu untuk mendapat masalah ini adalah:

  • Umur: Umur yang semakin meningkat akan menyebabkan kawasan sendi menjadi semakin tidak berfungsi
  • Jantina: Kebanyakan jenis sakit sendi selalunya berlaku pada kaum wanita
  • Genetik: Penyakit yang melibatkan sendi seperti rheumatoid arthritis, SLE dan ankylosing spondylosis selalunya berkait rapat dengan genetik
  • Berlebihan berat badan: Lebihan berat badan akan memberi tekanan yang lebih kepada sendi dan ia boleh menyebabkan kecederaan kepada kawasan tersebut
  • Kecederaan pada sendi: Kecederaan yang lepas pada sendi seperti ligament yang koyak akan menyebabkan sendi tersebut tidak stabil dan kecederaan yang seterusnya akan lebih mudah berlaku.
  • Jangkitan: Terdapat beberapa jenis jangkitan bakteria dan virus yang menyebabkan keradangan
  • Berlebihan kerja: Jika seseorang itu membuat kerja yang berlebihan seperti mengangkat barang yang berat, ia boleh mencederakan kawasan sendi yang boleh menyebabkan sakit sendi berlaku.

Simptom dan tanda sakit sendi

Arthritis selalunya berlaku di kawasan sendi. Ia juga boleh menyebabkan simptom lain seperti:

  • Satu ataupun lebih sendi yang
  • Sendi yang kelihatan merah dan panas bila disentuh
  • Sakit bila dipegang
  • Mengalami masalah pergerakan
  • Mengalami maslaah untuk melakukan tugasan harian

Jenis-jenis sakit sendi

Kebanyakan sakit sendi adalah disebabkan osteoarthritis dan juga rheumatoid arthritis.

1. Osteoarthritis

Terdapat kusyen di hujung tulang yang dinamakan sebagai tisu rawan (cartilage). Dalam pesakit osteoarthritis kusyen yang berfungsi sebagai pelapik untuk melancarkan pergerakan sendi semakin haus dan menipis. Ia berlaku sehingga mana tulang boleh bergesel diantara satu sama lain.

Perkara ini akan menyebabkan tisu dikawasan tersebut cedera dan menyebabkan kesakitan.

Sakit sendi jenis ini selalunya berlaku ketika kita meningkat usia. Tetapi ia juga boleh disebabkan kecederaan ligament yang menyebabkan sendi tersebut tidak stabil.

Jika anda berumur dan sakit sendi, selalunya anda mengalami sakit sendi jenis ini

2. Rheumatoid arthritis

Adalah penyakit dimana sistem pertahanan badan menyerang sel badan itu sendiri. Dalam kes ini, sel pertahanan badan akan menyerang tisu dikawasan sendi itu dan menyebabkan keradangan berlaku.

Selalunya ia akan menyerang sendi pada jari, pergelangan tangan, siku, bahu dan juga lutut.

Ia boleh menyebabkan bengkak, sendi susah untuk digerakkan dan sakit ketika bergerak. Pesakit juga akan mengalami

  • Rasa letih selalu
  • Pesakit akan mengalami sakit sendi yang teruk ketika bangun tidur
  • Demam
  • Hilang berat badan
  • Keradangan di bahagian mata(konjunktivitis)

3. Gout

Gout adalah salah satu penyebab sakit sendi yang sangat menyakitkan. Pengumpulan asid urik di bahagian sendi akan menyebabkan penghasilan kristal di kawasan sendi tersebut.

Selalunya gout akan menyerang kawasan ibu jari kaki yang menyebabkan sendi itu bengkak, merah dan juga berasa panas

Ia juga boleh disebabkan beberapa keadaan lain seperti:

  • Ankylosing spondylitis: Dalam penyakit ini, sel pertahanan badan akan menyerang sendi dikawasan tulang belakang
  • Systemic Lupus Erythematosus: Dalam penyakit ini pula, sel pertahanan badan akan menyerang semua tisu dalam badan termasuk sendi
  • Psoriatic arthritis: Adalah penyakit yang berkaitan dengan masalah kulit iaitu psoriasis. Tetapi dalam psoriasis ia juga boleh menyerang kawasan sendi
  • Septic arthiris: Jangkitan kuman pada sendi

Bila perlu berjumpa dengan doktor?

Anda mungkin akan mengalami sakit-sakit sendi yang biasa. Ianya tiada masalah. Tetapi jika anda mengalami tanda-tanda ini, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor

Simptom dan tanda tersebut adalah:

  • Kesakitan, bengkak itu berlaku secara berterusan
  • Simptom menjadi menjadi semakin teruk
  • Anda mempunyai saudara yang mengalami penyakit autoimun (sebagai contoh Rheumatoid arthritis, Systemic lupus erythematosus ataupun ankylosing spondylitis)

Jangan mengabaikan sakit sendi anda kerana ia boleh menyebabkan kerosakan sendi yang kekal.

Penyiasatan

Untuk jenis sakit sendi yang disebabkan osteoarthritis, penggunaan x-ray sudah memadai. Selalunya pesakit jenis ini akan mempunyai kawasan sendi yang sempit dan juga pertumbuhan tulang yang tidak normal (osteophyte).

Untuk pesakit yang mungkin disebabkan penyakit autoimun seperti Rheumatoid arthritis, Systemic lupus erythematosus ataupun ankylosing spondylitis, pengambilan sampel darah untuk mengesahkan perkara tersebut perlu dibuat.

Rawatan Sakit Sendi

Sakit sendi disebabkan terlalu aktif, tidaklah memerlukan rawatan yang spesifik. Selalunya ia akan pulih dengan sendirinya apabila seseorang itu mendapat rehat yang cukup.

Tetapi jika sakit ini terlalu teruk, pesakit mungkin akan diberikan ubat tahan sakit untuk merawat kesakitan itu terlebih dahulu.

Rawatan seterusnya adalah bergantung kepada jenis sakit sendi tersebut.

Sebagai contoh osteoarthritis. Selalunya pesakit akan diberi ubat tahan sakit ketika sakit itu berlaku sahaja. Jika pesakit masih mengalami sakit yang kerap, selalunya doktor akan berbincang untuk melakukan suntikan satu jenis bendalir ke dalam sendi terutamanya sendi lutut.

Jika pesakit mengalami penyakit autoimun pula, ubat yang sesuai untuk mengawal masalah sel pertahanan badan akan diberikan kepada pesakit.

Rujukan:

  1. Koszarny A, et al. (2015). Autoantibodies against gliadin in rheumatoid arthritis and primary Sjogren’s syndrome patients.
    researchgate.net/publication/282283479_Autoantibodies_against_gliadin_in_rheumatoid_arthritis_and_primary_Sjogren’s_syndrome_patients_Autoprzeciwciala_przeciwko_gliadynie_u_chorych_na_reumatoidalne_zapalenie_stawow_oraz_pierwotny_zespol_Sj
  2. Mayo Clinic Staff. (2017). Arthritis: Overview. mayoclinic.org/diseases-conditions/arthritis/home/ovc-20168903
  3. Rheumatoid arthritis causes. (n.d.). arthritis.org/about-arthritis/types/rheumatoid-arthritis/causes.php
  4. What is osteoarthritis? (n.d.). arthritis.org/about-arthritis/types/osteoarthritis/what-is-osteoarthritis.php
  5. What is rheumatoid arthritis? (n.d.).. arthritis.org/about-arthritis/types/rheumatoid-arthritis/what-is-rheumatoid-arthritis.php
Categories: Simptom

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa