Sakit tekak adalah sesuatu perkara yang selalu dialami oleh kita dan ia sangat mengganggu apabila ia membuatkan suara kita jadi serak ataupun tidak mampu bersuara. Kesakitannya jugak boleh menyebabkan pesakit menjadi batuk-batuk, lemah dan tidak boleh berkerja.

Ia merupakan simptom yang selalu dialami oleh kebanyakan daripada kita. Majoriti daripada masalah sakit tekak adalah berpunca daripada jangkitan virus dan selalunya ia tidak serius. Sakit tekak yang teruk disertai dengan demam yang tinggi pula boleh disebabkan jangkitan bakteria pada tekak. Kedua-dua ini mempunyai cara rawatan yang berbeza

Berita baik, kebanyakkan sakit tekak adalah disebabkan sesuatu yang tidak serius seperti jangkitan virus yang saya katakan di atas. Ia akan baik dengan sendiri tanpa memerlukan apa-apa ubat. Mungkin yang diperlukan adalah rawatan untuk mengurangkan sakit tekak tersebut dan juga untuk membuatkan pesakit rasa lebih selesa

Punca Sakit Tekak

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan masalah sakit tekak. Ia adalah:

1) Jangkitan virus

Sakit tekak selalunya disebabkan jangkitan virus pada bahagian tekak. Pesakit mungkin mengalami masalah

  • Common cold‘ (selesema biasa)
  • Laryngitis iaitu jangkitan pada peti suara
  • Infectious Mononucleosis (Jangkitan virus disebabkan Epstein-Barr Virus)
  • Jangkitan virus yang lain seperti virus yang menyebabkan beguk, herpengina ataupun influenza

Dalam jangkitan virus, pesakit mungkin ataupun tidak akan mengalami demam. Selalunya keadaan pesakit tidak terlalu teruk berbanding yang mendapat jangkitan bakteria

2) Jangkitan Bakteria

Jangkitan Bakteria juga boleh menyebabkan sakit tekak. Ianya boleh disebabkan:

  • Jangkitan kuman streptococcus pada tekak yang menyebabkan keradangan dikawasan tersebut. Ia juga dipanggil sebagai pharyngitis
  • Keradangan pada tonsil ataupun jangkitan kuman pada tonsil(Tonsilitis)
  • Nanah dikawasan tepi tonsil(peritonsilar Abscess)
  • Keradangan uvula (uvulitis). Uvula merupakan anak tekak dan ia boleh berlaku keradangan disebabkan jangkitan kuman

Pesakit selalunya akan mengalami demam yang tinggi bila mendapat jangkitan kuman jenis bakteria. Tekak pula akan kelihatan sangat merah

3) Iritasi pada tekak

Sakit tekak yang lebih daripada seminggu selalunya disebabkan iritasi yang berterusan pada bahagian tekak disebabkan beberapa perkara. Contohnya adalah:

  • Iritasi pada tekak disebabkan udara persekitaran yang kering, merokok, asap, menjerit, air selesema yang mengalir kebahagian belakang tekak dan sebagainya.
  • Bernafas menggunakan mulut ketika mana hidung anda tersumbat
  • Asid daripada perut naik keatas disebabkan penyakit ‘Gastroesophageal reflux Disease‘(GERD). Pesakit akan rasa tekak mereka masam-masam seperti asid

Rawatan, Ubat dan Petua sakit tekak (Termasuk rawatan di rumah)

Disebabkan kebanyakkan sakit tekak adalah disebabkan jangkitan virus, selalunya ia boleh baik dengan sendirinya tanpa perlu pengambilan ubat-ubatan. Akan tetapi jika ia disebabkan jangkitan bakteria, antibiotik mungkin perlu diambil untuk mengelakkan jangkitan bakteria yang lebih teruk.

Rawatan yang boleh diberikan adalah lebih kepada rawatan untuk mengurangkan sakit dan memberi keselesaan kepada mereka yang mengalami masalah tersebut.

Rawatan dan Petua di rumah

Berikut adalah bebeberapa rawatan di rumah yang boleh diamalkan jika anda mengalami sakit tekak:

  • Kumur air garam untuk mengurangkan rasa sakit dan memberi sedikit kelegaan dibahagian tekak. Caranya adalah ambil satu sudu garam dan larutkan di dalam satu gelas air suam. Kemudian air tersebut dikumur di bahagian tekak.
  • Elakkan dihidrasi. Mengambil minuman yang secukupnya akan mengelakkan tekak daripada kekeringan dan sakit tekak akan berkurangan
  • Gunakan alat ‘humidifier’. Ia bertujuan untuk menjadikan udara di sekeliling menjadi lembab dan menyebabkan tekak tidak terlalu kering. Tetapi elakkan memakai terlalu lama ataupun meletakkan di dalam bilik yang terlalu tertutup kerana ia akan menyebabkan persekitaran bilik lembab dan kulat senang terbentuk
  • Jangan merokok ataupun dekat dengan mereka yang merokok
  • Gunakan lozenges. Lozenges adalah ubat seperti gula-gula untuk mengurangkan rasa tidak selesa atau sakit tekak. Terdapat lozenges yang mengandungi ubat yang boleh menyebabkan tekak rasa kebas dan kurang rasa sakit.

Ubat yang tidak memerlukan preskripsi doktor

Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh didapati dan dibeli difarmasi tanpa perlu preskripsi doktor. Ianya adalah

  • Paracetamol (PCM): Jika anda sakit tekak dan juga demam, ubat PCM dapat membantu anda untuk mengurangkan kedua-dua masalah tersebut
  • Non-steroidal anti-inflammatory Drug (NSAIDs): Contoh ubat adalah mefenamic acid, diclofenac, napoxen sodium dan beberapa jenis ubat lagi. Ubat ini adalah jenis ubat tahan sakit yang berfungsi dengan mengurangkan keradangan. Jika sakit tekak itu teruk, pengambilan ubat ini dapat mengurangkan masalah tersebut. (Perhatian: Ubat ini tidak boleh diambil secara berterusan berbulan-bulan lamanya kerana ia boleh menyebabkan masalah buah pinggang dan juga ulser di dalam perut. Elakkan penggunaan ubat ini jika anda mempunyai alahan padannya)
  • Anti-Histamine: Contoh ubat adalah chlorpheniramine, centrizine, loratidine dan sebagainya. Bagi mereka yang mengalami sakit tekak disebabkan selesema, pengambilan ubat ini bertujuan untuk mengurangkan selesema seterusnya mengurangkan sakit tekak.

Rawatan di Klinik

Selalunya jika sakit tekak itu berserta dengan demam yang tinggi, pesakit dinasihati untuk pergi berjumpa dengan doktor. Doktor akan memeriksa tekak untuk melihat sama ada ianya disebabkan bakteria ataupun virus.

Selalunya pesakit yang mengalami jangkitan bakteria pada bahagian tekak akan mempunyai tekak yang sangat merah. Selain daripada itu, tonsil juga akan bengkak dan mengeluarkan cecair(exudate).

Pada ketika ini, pesakit perlulah diberi rawatan antibiotik untuk membunuh kuman tersebut supaya jangkitan kuman tidak menjadi lebih teruk.

Simptom yang perlu dilihat ketika rawatan di rumah

Sila berjumpa terus dengan doktor jika anda mempunyai simptom-simptom ini. Ianya adalah:

  • Susah bernafas
  • Sakit tekak yang melampau
  • Tidak mampu menelan air dengan secukupnya
  • Timbul ruam terbaru
  • Simptom yang lebih darupada 2 minggu
  • Simptom menjadi lebih teruk
  • Pesakit nampak lebih letih

Rujukan:

  1. Alcaide AL, Bisno AL. Pharyngitis and epiglottitis. Infect Dis Clin North Am. 2006. 21:449-469.
  2. Twefik TL, Al Garni M. Tonsillopharyngitis: Clinical highlights. J of Otolaryngology. 2005. 34:
  3. Mostov PD. Treating the immunocompetent patient who presents with an upper respiratory infection: pharyngitis, sinusitis, and bronchitis. Prim Care. 2007 Mar. 34(1):39-58
  4. Kalra MG, Higgins KE, Perez ED. Common Questions About Streptococcal Pharyngitis. Am Fam Physician. 2016 Jul 1. 94 (1):24-31.
  5. Shaikh N, Swaminathan N, Hooper EG. Accuracy and precision of the signs and symptoms of streptococcal pharyngitis in children: a systematic review. J Pediatr. 2012 Mar. 160(3):487-493.e3.
  6. Gerber MA. Diagnosis and treatment of pharyngitis in children. Pediatr Clin North Am. 2005 Jun. 52(3):729-47, vi.
  7. Del Mar CB, Glasziou PP, Spinks AB. Antibiotics for sore throat (Review). The Cochrane Collaboration. 2007. (1):1-41.
  8. Sumber featured image: centralcoastent.com
Categories: Perubatan

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa