Sakit tumit sangat mengganggu kehidupan seharian kita. Lebih-lebih lagi jika ia berlaku sebaik daripada bangun tidur. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan pada masyarakat sehingga ada yang tidak mengendahkannya

Tetapi ada sesetengah keadaan yang akan menyebabkan pesakit berjumpa dengan doktor bagi masalah tersebut terutamanya bila melibatkan kesakitan yang kuat ataupun kesakitan yang kronik.

Istilah Perubatan

Plantar fascia: Tisu pada tapak kaki berfungsi untuk menyama-ratakan tekanan pada tapak kaki
Plantar fascitis: Keradangan pada tisu plantar fascia
Calcaneal spur: Penumbuhan tulang tajam seperti taji pada tulang kalkaneal
Flexor retinaculum: Tisu yang menutupi terowong tarsal

Pengenalan

Sakit tumit merupakan salah satu masalah yang selalu dihadapi oleh masyarakat. Ia boleh menyebabkan ketidakselesaan sehingga menyebabkan pesakit berjalan dengan keadaan sedikit tempang.

Ia mempunyai pelbagai penyebab. Oleh itu, pemeriksaan klinikal oleh doktor perlulah dibuat untuk mengetahui punca kepada masalah tersebut

Perlu diketahui bahawa rawatan yang selalu diberikan adalah lebih kepada kawalan simpton dan juga perubahan aktiviti seharian. Jarang untuk pembedahan dilakukan bagi masalah seperti ini.

Bagaimana masalah ini berlaku?

Tisu badan dibahagian tumit berfungsi sebagai penyerap hentakan ketika berjalan mahupun berlari. Ia mempunyai tisu yang membentuk gulungan dan mengandungi tisu lemak yang melekat antara satu sama lain secara menegak.Tumit mampu menyerap 110% hentakan daripada berat badan.

Plantar Fascia pula merupakan tisu fibroaponeurotic yang melekat pada tulang kalkaneal(tulang tumit) dan juga pangkal tulang jari kaki. Ia berfungsi untuk menyama-ratakan tekanan pada bahagian tapak kaki.

Ketika berlakunya stress yang kronik pada bahagian tapak kaki sebagai contohnya asyik berjalan pada satu masa yang lama, ia akan menyebabkan keradangan pada plantar fascia. Dan ini merupakan salah satu penyebab sakit tumit dan ia dipanggil sebagai ‘Plantar Fascitis’

Stress yang kronik pada tapak kaki juga boleh menyebabkan penumbuhan tulang yang tidak normal pada tulang tumit(kalkaneal). Ia akan membentuk tulang yang tajam seolah-olah seperti taji. Keadaan ini dipanggil sebagai ‘Calcaneal spurs‘. Tulang tersebut akan menyebabkan kecederaan kepada tisu sekeliling kerana ia tajam.

Selain daripada itu, himpitan saraf pada terowong tarsal juga menyebabkan kesakitan pada bahagian tumit. Terowong tarsal ini terbina daripada tulang dibahagian dalam dan ditutupi oleh flexor retinaculum. Jika tekanan meningkat di dalam terowong tersebut, maka ia akan menghimpit saraf di dalamnya dan menyebabkan satu keadaan di panggil sebagai sindrom terowong tarsal(tarsal tunnel syndrome). Ia sama seperti sindrom terowong carpal(carpal tunnel syndrome).

Punca kepada sakit tumit

Beberapa punca kepada sakit tumit adalah:

  • Plantar fascitis: Keradangan pada tisu yang dikenali sebagai plantar fascia disebabkan stress yang kronik kepada kaki. Aktiviti berjalan dengan satu jarak yang jauh boleh menyebabkan perkara ini
  • Calcaneal spur: Tumbuhnya tulang yang tajam pada tulang kalkeneal. Ia mencederakan tisu disekeliling tulang tersebut ketika pesakit mula berjalan
  • Pad lemak pada kaki yang mengecut(Fat pad atrophy)
  • Sindrom terowong tarsal: Ia disebabkan penghimpitan saraf tibial didalam terowong tarsal. terowong tarsal terletak pada buku lali bahagian dalam.
  • Keretakan pada tulang kalkaneal disebabkan stress yang berulang
  • Ketumbuhan pada tulang

Epidemiologi

Lebih kurang 2 juta orang US pergi berjumpa doktor setiap tahun hanya disebabkan sakit tumit. Kebarangkalian untuk mengalami masalah tumit meningkat apabila apabila seseorang itu adalah mereka yang aktif dan juga tentera.

Selalunya pesakit yang mempunyai masalah ini berada dalam lingkungan umur 45 tahun. Selain daripada itu, kaum wanita adalah 2 kali ganda lebih untuk menghadapi masalah ini berbanding kaum lelaki

Prognosis(Kesudahan)

90% daripada kes plantar fascitis dan calcaneal spur hanya dirawat dengan memberi rawatan sokongan sahaja. Pesakit akan sembuh selepas daripada itu.

Sejarah pesakit

Pesakit akan mempunyai beberapa sejarah ataupun faktor risiko yang akan membuatkan dia menghadapi masalah sakit tumit tersebut. Selalunya perkara tersebut bergantung kepada penyebab sakit tumit itu

Plantar fascitis

Punca yang selalu menyebabkan sakit tumit pada orang biasa dan atlet adalah plantar fascitis. Pesakit ini selalunya mempunyai pekerjaan yang sentiasa menggunakan kaki dan ia akan melibatkan sebelah kaki. Tetapi ia boleh juga melibatkan kedua-dua belah kaki sakit dimana satu belah kaki akan mempunyai sakit yang lebih

Kesakitan itu akan datang secara tiba-tiba tanpa melibatkan sebarang trauma pada kaki. Kadang-kadang ada pesakit yang mengadu pernah terpijak objek yang kecil seperti guli pada tumit mereka. Selain daripada itu, ada juga sesetengah pesakit yang mengatakan berat badannya meningkat sebelum dia menghadapi sakit tumit tersebut.

Kesakitan itu selalunya berlaku pada waktu pagi. Iaitu ketika pesakit baru sahaja bangun daripada tidur. Ia akan menyebabkan pesakit jalan seperti orang yang tempang. Selepas setengah jam berjalan, kesakitan akan berkurangan dan pesakit boleh jalan seperti biasa

Pad lemak pada kaki yang mengecut(Fat pad atrophy)

Ia selalu berlaku pada pesakit yang sudah berumur ataupun yang selalu mengambil suntikan steroid. Pesakit akan mengalami sakit tapak kaki secara keseluruhan tetapi lebih kepada sakit tumit.

Kesakitan itu bertambah apabila pesakit berjalan pada permukaan yang keras ataupun menggunakn kasut yang mempunyai tapak yang keras.

Kesakitan pada tapak kaki akan berterusan ketika mana pesakit berjalan. Berlainan pula pada plantar fascitis, kesakitan pada tumit akan berkurangan ketika pesakit berjalan.

Sindrom terowong tarsal

Kesakitan pada tumit yang merebak ke bahagian atas kaki berserta kebas ataupun rasa seperti terbakar mungkin merujuk kepada masalah saraf. Selalunya ia disebabkan himpitan pada saraf tibia yang berada di dalam terowong tarsal.

Keadaan ini dinamakan sebagai sindrom terowong tarsal

Keradangan sistemik

Jika pesakit mengalami sakit tumit pada kedua-dua belah, ia mungkin menunjukkan pesakit mengalami masalah yang lebih rumit iaitu keradangan sistemik. Keradangan sistemik(systemic inflammation) selalunya merujuk kepada penyakit autoimun dimana sistem pertahanan badan menyerang sel badan sendiri.

Ia menyebabkan keradangan pada beberapa bahagian badan. Jika ia berlaku pada tumit kaki, maka pesakit akan mengadu sakit pada bahagian tersebut.

Diagnosa-diagnosa lain

Beberapa diagnosa yang dikaitan dengan masalah sakit tumit addalah

  • Sindrom terowong tarsal
  • Plantar fascitis
  • Calcaneal spur
  • Keradangan tendon achilles
  • Plantar fibromatosis

Penyiasatan

Untuk diagnosa sakit tumit, ia selalunya tidak memerlukan pengambilan darah mahupun pengimejan untuk melihat punca kepada masalah tersebut. Tetapi jika pesakit mengadu sakit pada dua-dua belah tumit, maka punca lain perlu disiasat dengan lebih lanjut.

Jika pesakit mempunyai simptom masalah autoimun seperti penyakit SLE, rheumatoid arthritis, psoriasis dan sebagainya, sampel darah perlu diambil untuk mengesahkan perkara tersebut. Contoh sampel darah yang perlu diambil adalah:

  • Rheumatoid factor: untuk mengesan penyakit rheumatoid arthritis
  • Anti-nucleur antibodi: Untuk mengesan masalah SLE
  • Kadar pemendapan eryhtrocyte(Erythrocyte sedimentation rate): untuk mengesan kerandang yang kronik

X-ray

X-ray bagus untuk melihat struktur tulang terutamanya tulang kalkaneal(tumit). Pesakit yang mengalami ‘calcaneal spur’ akan menunjukkan taji tulang yang tajam pada tulang kalkaneal. Tulang yang tajam inilah yang akan mencederakan tisu disekelilingnya dan menyebabkan sakit pada tumit

Selain daripada itu, ada juga pesakit yang mempunyai cyst tulang. Dimana wujudnya ruang kosong dipenuhi air di dalam tulang tersebut. Menyebabkan ia selalu berlaku keretakan dan pesakit akan mengadu sakit pada bahagian tersebut.

Rawatan Sakit Tumit

Rawatan yang selalu dilakukan adalah lebih kepada rawatan sokongan dan mengurangkan faktor risiko supaya pesakit dapat mengelakkan daripada kesakitan itu berlaku

Kurangkan stress pada kaki

Bermaksud pesakit perlulah mengurangkan aktiviti ataupun mencari cara untuk mengurangkan stress pada tumit kaki. Ianya adalah:

  • Mengelakkan aktiviti yang mengunakan tapak kaki seperti berlari. Pesakit boleh mengamalkan aktiviti seperti berbasikal dan berenang untuk mengurangkan stress pada tumit kaki
  • Mengurangkan berat badan
  • Menggunakan kusyen lembut pada tumit kaki
  • Menggunakan sliper lembut ketika di dalam rumah

Jika anda berminat untuk membeli alat pelapik tapak kaki, boleh tekan butang LIHAT dibawah.

Aktiviti regangan

Beberapa jenis senaman boleh dilakukan untuk meregangkan tisu plantar di tapak kaki. Aktiviti tersebut adalah:

  • Pesakit perlu menghala ke satu dinding. Kemudian tapak tangan pegang dinding dan kaki yang sakit ditekan pada lantai hingga tapak kaki merasa regang. Lakukan aktviti ini berkali-kali hingga kesakitan berkurangan
  • Pergi ke tangga. Dengan hanya berpijak pada hujung tapak kaki di tangga, regangankan tapak kaki. Pastikan tumit kaki tidak mencecah lantai
  • Gunakan botol. Letakkan tapak kaki di atas botol dan tolak ia kedepan dan kebelakang menggunakan tapak kaki. Beri tekanan sedikit pada tapak kaki ketika melakukan aktiviti tersbut. Ia akan meregangkan plantar fascia pada tapak kaki

Aktiviti untuk mengurangkan keradangan

Penggunaan ais pada tapak kaki mungkin membantu. Penggunaan ubat tahan sakit jenis nSAIDs dapat membantu pada awal sakit tumit terutamanya jika aktiviti regangan sudah dimulakan

Suntikan steroid

Jika sakit masih lagi tidak baik, suntikan steroid pada tapak kaki merupakan salah satu rawatan yang boleh dicuba. Ia akan mengurangkan keradangan pada tumit kaki.

Tetapi perlu diketahui bahawa ia mempunyai komplikasi iaitu ia boleh menyebabkan fat pad atrophy. Lalu ia menyebabkan sakit tumit itu menjadi lebih teruk

Pencegahan

Beberapa perkara perlu dilakukan untuk mengelakkan perkara ini

  • Mengelakkan aktiviti yang selalu menggunakan kaki
  • Jika hendak bersenam, gilirkan ia dengan senaman yang tidak menggunakan kaki seperti berenang ataupun berbasikal
  • Kurangkan berat badan

Rujukan:

  1. Neufeld SK, Cerrato R. Plantar fasciitis: evaluation and treatment. J Am Acad Orthop Surg. 2008 Jun. 16(6):338-46.
  2. Alshami AM, Souvlis T, Coppieters MW. A review of plantar heel pain of neural origin: differential diagnosis and management. Man Ther. 2008 May. 13(2):103-11.
  3. Aldridge T. Diagnosing heel pain in adults. Am Fam Physician. 2004 Jul 15. 70(2):332-8.
  4. Crawford F, Thomson C. Interventions for treating plantar heel pain. Cochrane Database Syst Rev. 2003. CD000416.
  5. Tisdel CL, Donley BG, Sferra JJ. Diagnosing and treating plantar fasciitis: a conservative approach to plantar heel pain. Cleve Clin J Med. 1999 Apr. 66(4):231-5
  6. Martin RL, Davenport TE, Reischl SF, McPoil TG, Matheson JW, Wukich DK, et al. Heel pain-plantar fasciitis: revision 2014. J Orthop Sports Phys Ther. 2014 Nov. 44 (11):A1-33.
  7. Owens BD, Wolf JM, Seelig AD, Jacobson IG, Boyko EJ, Smith B, et al. Risk Factors for Lower Extremity Tendinopathies in Military Personnel. Orthop J Sports Med. 2013 Jan-Jun. 1 (1):2325967113492707.
  8. Scher DL, Belmont PJ Jr, Bear R, Mountcastle SB, Orr JD, Owens BD. The incidence of plantar fasciitis in the United States military. J Bone Joint Surg Am. 2009 Dec. 91(12):2867-72.
  9. Bolgla LA, Malone TR. Plantar fasciitis and the windlass mechanism: a biomechanical link to clinical practice. J Athl Train. 2004 Jan. 39 (1):77-82
  10. sumber featured image: medicalnewstoday.com
Categories: Ortopedik

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *