Badan kita ini bertindak seperti bara api. Ia sentiasa melepaskan haba disebabkan metabolisma yang berlaku di dalam sel badan. Suhu badan ini juga penting supaya enzim dan protein di dalam badan dapat berfungsi secara optima. Oleh itu, ia juga menyebabkan fungsi sel dan fungsi organ dapat berfungsi dengan betul. Jika suhu badan terlalu tinggi (mempunyai suhu demam) ataupun terlalu sejuk ia akan merencat fungsi sel dan fungsi organ yang boleh menyebabkan kematian pada seseorang individu.

Suhu badan yang normal

Bagi individu yang berada di dalam keadaan rehat dan tidak sakit, suhu badan yang normal baginya adalah dari 36.1 darjah celcius hinggalah pada 37.4 darjah celcius. Secara puratanya suhu badan kita adalah pada 37 darjah celcius.

Suhu badan juga tidak akan terus sama sepanjang hari kerana ia bergantung pada aktiviti dan perkara yang kita sedang buat. Beberapa perkara yang boleh merubah suhu anda adalah:

  • Adakah anda aktif ketika itu?
  • Pukul berapa pada ketika itu?
  • Umur anda?
  • Jantina anda?
  • Apakah yang anda makan ketika itu?
  • Anda berada pada hari ke berapa dalam kitaran haid?

Bacaan ini juga berlainan bergantung pada kawasan yang kita ukur. Sebagai contoh suhu badan yang diukur dari termometer yang diletak bawah ketiak adalah lebih rendah berbanding jika diukur melalui mulut.

Suhu demam

Suhu demam adalah suhu yang melebihi 37.4 darjah celcius iaitu 37.5 darjah celcius dan ke atas. Mungkin anda akan merasa tidak sihat dan sakit ketika itu. Tetapi perlu diketahui bahawa suhu demam juga sebenarnya salah satu mekanisma badan yang berfungsi melindungi badan dari serangan jangkitan kuman.

Meningkatnya suhu sebanyak satu darjah celcius sudah merencat pembiakan pelbagai jenis virus dan bakteria di dalam badan. Ia juga akan menyebabkan sel darah putih dalam darah meningkat dengan banyak untuk melawan kuman tersebut.

Bagi pesakit kanak-kanak (baca demam pada kanak-kanak) yang stabil dan nampak sihat lagi, ibubapa boleh cuba merawat anak tersebut dirumah terlebih dahulu dengan memberikan ubat demam jika perlu.

Jika anak tersebut mempunyai simptom yang teruk seperti:

  • Muntah
  • Cirit birit
  • Kurang makan atau minum
  • Nampak letih
  • Bernafas laju,

Pesakit perlulah dibawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan

Jika bayi berumur setahun demam, pesakit perlulah terus dibawa berjumpa dengan doktor walaupun tiada simptom yang saya sebutkan diatas.

Jika anda berminat untuk membeli termometer untuk menyukat suhu badan, boleh tekan butang LIHAT dibawah.

Kiraan ubat demam(Ubat paracetamol) bagi kanak-kanak

Ubat demam yang selalu diberikan kepada kanak-kanak adalah ubat demam jenis paracetamol.

Ada 2 perkara kena tahu ketika hendak bagi ubat demam kepada kanak-kanak

  1. Kepekatan/Sediaan ubat demam
  2. Berat anak

Kepekatan ubat demam

Selalunya akan ada 2 jenis ubat demam paracetamol yang berlainan sediaan iaitu:

  • 125mg/5ml: Bermaksud 1ml ubat mengandungi 25mg ubat paracetamol
  • 250mg/5ml: Bermaksud 1ml ubat mengandungi 50mg ubat paracetamol

Berat anak

Berat anak penting kerana perlu kita tahu berat kanak-kanak yang berlainan mempunyai dos yang berbeza.

Bagi ubat paracetamol (PCM), setiap kilogram berat badan kanak-kanak memerlukan 15mg ubat paracetamol yang boleh diberikan setiap 6-8jam. (iaitu 15mg/kg setiap 6-8jam)

Sebagai contoh, jika seseorang kanak-kanak itu mempunyai berat sebanyak 10kg.

Berapakah jumlah dos yang diperlukan oleh kanak tersebut?

Cara kiranya adalah:

Berat kanak-kanak = 10kg

Dos paracetamol = 15mg/kg

Dos pada kanak-kanak tersebut adalah:

10kg(berat kanak) X 15mg/kg(Dos PCM) = 150mg paracetamol yang boleh diberikan setiap 6 hingga 8 jam

Berapa pula isipadu yang boleh diberikan pada kanak-kanak tersebut?

Cara kiranya adalah bergantung kepada sediaan ubat paracetamol tersebut.

Jika,

Sediaan 125mg/5ml iaitu 1ml mengandungi 25mg PCM. Cara kiranya adalah:

150 dibahagi dengan 25 = 6ml setiap 6-8 jam

Sediaan 250mg/5ml iaitu 1ml mengandungi 50mg PCM. Cara kiranya adalah

150 dibahagi dengan 50 = 3ml setiap 6-8 jam

***Ubat PCM tidak boleh diberi melebihi 1000mg pada satu-satu masa.

Rujukan:

  1. Mayo Clinic: “Fever: First Aid,” “Fever,” “Hypothermia.”
  2. WebMD. What is Normal Body Temperature.
  3. Featured image: Tokopedia.com

 

Categories: Jenis Ubat

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa