Systemic Lupus Erythematosus yang lebih dikenali sebagai SLE merupakan salah satu penyakit kategori ‘Autoimmune’. Autoimmune membawa maksud sel imun badan kita sendiri akan bertindak menyerang sel-sel lain dalam badan kita. Disebabkan perkara itu, semua organ dalam pesakit SLE boleh diserang dengan penyakit ini.

1. Istilah perubatan

Autoimmune: Masalah dimana sel imun badan menyerang sel badan sendiri

2. Pengenalan

Lebih kurang 90% penyakit SLE berlaku pada kaum wanita. Ia merupakan salah satu penyakit autoimmune dimana sel pertahanan badan menjadi bercelaru dan menyerang sel badannya sendiri. Ini menyebabkan kesemua tisu dan organ dalam badan boleh diserang oleh SLE.

Disebabkan ia boleh menyerang pelbagai organ, maka ia boleh mempunyai pelbagai simptom tetapi terdapat beberapa simptom yang tipikal menunjukkan seseorang itu mempunyai SLE seperti demam yang berpanjangan, bengkak-bengkak sendi, ruam yang seperti rama-rama pada muka(butterfly rash) dan beberapa simptom lagi

Diagnosis penyakit SLE memerlukan pemeriksaan secara klinikal dan juga dibuktikan dengan keputusan ujian darah.

3. Patofisiologi

SLE adalah penyakit autoimmune dimana ia melibatkan keradangan pada pelbagai sistem badan disebabkan penghasilan antibodi yang menyerang sel badan kita sendiri. Walaupun kita tidak tahu secara spesifik berkenaan punca SLE tetapi pelbagai faktor telah diperhatikan menjadi penyebab kepada SLE dan ia melibatkan genetik, epigenetik, etnik, hormon dan juga faktor persekitaran

Beberapa teori telah dikemukakan dan kajian pun telah membuktikan. Tetapi ia masih satu rangkaian maklumat yang belum bersambung antara satu sama lain. Jadi punca spesifik kepada penyakit tersebut masih lagi tidak diketahui.

Masalah pembersihan sel yang telah mati

Salah satu proses yang dikesan bermasalah pada pesakit SLE adalah kurangnya keberkesanan dalam pembersihan sel badan yang telah mati. Kematian sel badan adalah perkara biasa dan ia berlaku jika sel badan tersebut telah sampai usianya

Perlu diketahui ketika sel badan kita mati, salah satu sel yang lain pula akan memakan dan menguraikan sel dan komponen dalam sel tersebut. Sel ini dinamakan sebagai ‘phagocyte’

Tetapi di dalam pesakit SLE, mekanisma tersebut bermasalah. Kebanyakkan daripada sel yang mati tidak di dimakan oleh sel tersebut menyebabkan banyak komponen daripada sel yang mati keluar ke dalam darah mahupun tisu badan.

Disebabkan komponen sel ini terlalu tinggi, maka ia akan dikesan oleh sel imun badan seperti ‘antigen-presenting cell’. Disinilah bermula proses sel imun badan menghasilkan antibodi terhadap badannya sendiri. ‘Antigen-presenting cell’ akan mengesan komponen daripada sel yang telah mati dan ia menghasilkan respon sama seperti apabila berhadapan dengan kuman seperti bakteria. Lalu ia akan berhubung dengan sel darah putih yang bertanggungjawab menghasilkan antibodi iaitu B-cell

B- cell pula akan menghasilkan antibodi yang akan melawan komponen-komponen sel yang dikesan pada awalnya tadi. Ini menyebabkan sel badan mati dan keradangan berlaku.

Beberapa faktor yang mempengaruhi

1) Genetik: Jika ada ahli keluarga yang mempunyai SLE, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghadapi perkara yang sama berbanding orang lain
2) Jantina: Kaum wanita mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk menghadapi penyakit ini
3) Etnik: Kaum perempuan dari Asia mempunyai peratusan yang lebih tinggi menghidapi SLE jika dibandingkan dengan kaum wanita daripada eropah

4. Simptom

Disebabkan SLE boleh menyerang semua sistem badan, ia mempunyai pelbagai simptom seperti:

  • Demam yang berpanjangan
  • Sendi yang bengkak dan sakit
  • Ruam terutamanya di bahagian muka yang seakan-akan bentuk rama-rama(butterfly rash)
  • Kuku dan jari yang kebiru-biruan(dikenali sebagai Fenomena Raynaud)
  • Kulit yang sensitif terhadap matahari
  • Ulser yang banyak dalam mulut

Ia juga mempunyai simptom-simptom lain bergantung kepada organ ataupun sistem badan yang diserang. Sebagai contoh:

  • Sawan ataupun pengsan: selalunya berlaku apabila SLE menyerang bahagian otak
  • Sakit sendi: Apabila SLE menyerang sendi
  • Susah bernafas: Apabila SLE menyerang bahagian paru-paru ataupun bahagian jantung
    dan banyak lagi

5. Komplikasi

SLE boleh menyerang mana-mana organ dalam badan. Bermaksud setiap daripada organ tersebut boleh rosak disebabkan SLE. Beberapa komplikasi yang boleh dalam SLE adalah

  • Cerebral lupus: Perkara ini berlaku apabila sel badan sendiri menyerang otak dan menyebabkan keradangan pada bahagian tersebut. Lalu timbulah simptom seperti sawan, tidak sedarkan diri, halusinasi dan pelbagai simptom lagi yang melibatkan fungsi otak
  • Kegagalan buah pinggang
  • Paru-paru berair
  • Kerosakkan pada sendi hingga menyebabkan limitasi pada pergerakan sendi tersebut\
  • Keradangan pada pankreas
  • Keradangan pada otot jantung

6. Kadar kematian

Kadar kematian sebelum ini iaitu pada tahun 1955, adalah sangat tinggi. Dimana hanya 50% sahaja daripada pesakit mampu hidup lebih daripada 5 tahun setelah disahkan menghidap SLE.

Kemajuan dalam bidang perubatan menyebabkan pesakit SLE mampu hidup dengan lebih lama. Sekarang ini, 90% daripada pesakit mampu hidup lebih daripada 15 tahun dengan bantuan ubat-ubatan

7. Diagnosa-diagnosa lain

Beberapa diagnosa lain juga boleh difikirkan kerana ia mempunyai simptom yang sama seperti:

8. Pengesahan diagnosis

Untuk mengatakan seseorang itu mempunyai SLE, ia perlu memenuhi beberapa kriteria. ‘American College of Rheumatology(ACR)’ telah menggariskan kriteria tersebut. Seseorang itu kemungkinan besar mempunyai SLE jika 4 kriteria ini dipenuhi daripada 11 kriteria yang ada. Ianya adalah

  • Serositis iaitu keradangan pada lapisan serosa. Lapisan serosa ini selalunya meliputi organ paru-paru dan juga jantung
  • Ulser dalam mulut
  • Arthritis: keradangan berserta sakit pada sendi
  • Photosensitivity: sensitif kepada cahaya matahari
  • Masalah pada darah: Mempunyai kekurangan pada sel darah merah, sel darah putih mahupun platlet
  • Gangguan pada fungsi buah pinggang: Pesakit SLE yang mempunyai masalah buah pinggang boleh dikesan dengan memeriksa air kencing mereka. Pesakit yang ada masalah akan menunjukkan kehadiran protein
  • Kehadiran antibodi jenis Anti-nuclear antibodi
  • Kehadiran antibodi jenis yang lain seperti Anti- dsDNA, Anti-smith, Anti phospolipid antibodi.
  • Masalah saraf yang melibatkan sawan dan halusinasi
  • Ruam pada muka yang berbentuk rama-rama
  • Ruam Discoid yang berbentuk bulat, ditepinya berwarna kemerah-merahn

10. Penyiasatan

Beberapa penyiasatan boleh dibuat untuk mengesan sama ada pesakit mempunyai SLE ataupun tidak. Ujian yang lain pula boleh dilakukan untuk melihat komplikasi yang mungkin terhasil daripada penyakit ini

Pengesanan penyakit

Terdapat beberapa ujian darah yang boleh dilakukan untuk mengesahkan seseorang itu mempunyai SLE iaitu:

  • Pengesanan Anti-Nuclear Antibodies(ANA)
  • Pengesanan Anti-dsDNA antibodi
  • Pengesanan Anti-Smith antibodi
  • Full blood clount: untuk melihat bilangan sel darah putih, sel darah merah dan platlet di dalam darah

Siasatan untuk kesan komplikasi

Jika pesakit disyaki mempunyai komplikasi daripada penyakit SLE, beberapa penyiasatan boleh dibuat:

  • X-ray dada: Boleh dibuat untuk mengesan paru-paru berair
  • CT-scan: Boleh dibuat untuk mengesan cerebral lupus(keradangan bahagian otak)
  • Fungsi Buah pinggang(renal profile): Fungsi buah pinggang boleh diperiksa dengan pengambilan darah

11. Rawatan Systemic Lupus Erythematosus

Rawatan SLE bergantung kepada keterukkan penyakit tersebut berserta komplikasi yang dihadapi

1) Serangan SLE ringan

  • Serangan ringan hanya melibatkan kulit, sendi dan otot boleh dirawat dengan menggunakan ubat tahan sakit seperti non-steroidal anti-inflammatory drugs(nSAID) dan juga steroid.
  • Serangan ringan bermaksud serangan SLE yang datang dan pergi dalam waktu beberapa hari sahaja

2) Serangan SLE yang teruk

  • Serangan SLE yang teruk selalunya melibatkan organ badan dan kekerapan serangan penyakit SLE adalah tinggi
  • Untuk pesakit seperti ini, penggunaan hydroxychloroquine mampu mengurangkan kekerapan serangan dan komplikasi daripada penyakit tersebut
  • Terdapat jenis ubat yang lain jika ubat hydroxychloroquine tidak berkesan. Sebagai contoh Belimumab, Rituximab dan beberapa jenis ubat yang lain.
  • Penggunaan ubat ini perlulah dibawah pengawasan doktor

Jika bacaan ini bermanfaat, jangan lupa like page kami TheDiagnosa

Rujukan

  1. Edworthy SM. Clinical Manifestations of Systemic Lupus Erythematosus. Harris ED, et al, eds. Kelley’s Textbook of Rheumatology. 7th ed. Philadelphia, Pa: WB Saunders; 2005. 1201-24.
  2. Hochberg MC. Updating the American College of Rheumatology revised criteria for the classification of systemic lupus erythematosus. Arthritis Rheum. 1997 Sep. 40(9):1725.
  3. American College of Rheumatology. 1997 Update of the 1982 American College of Rheumatology revised criteria for classification of systemic lupus erythematosus. Available at http://tinyurl.com/1997SLEcriteria
  4. Hahn BH. Management of Systemic Lupus Erythematosus. Harris ED, et al, eds. Kelley’s Textbook of Rheumatology. 7th ed. Philadelphia, Pa: WB Saunders; 2005. 1225-47.
  5. Rahman A, Isenberg DA. Systemic lupus erythematosus. N Engl J Med. 2008 Feb 28. 358(9):929-39.
  6. Arbuckle MR, McClain MT, Rubertone MV, et al. Development of autoantibodies before the clinical onset of systemic lupus erythematosus. N Engl J Med. 2003 Oct 16. 349(16):1526-33
  7. Sumber featured image:

Dr Latif Saad

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa