Kencing manis ataupun Diabetes Mellitus merupakan salah satu penyakit kronik yang akan memberi kesan kepada tubuh badan. Tanda tanda kencing manis selalunya tidak berlaku pada mereka yang baru sahaja mengalami kencing manis.

Terdapat beberapa jenis kencing manis seperti diabetes type 1, diabetes type 2 dan juga gestational diabetes(kencing manis ketika mengandung).

Kesemua jenis kencing manis ini mempunyai satu perkara yang sama iaitu badan mereka tidak mampu mengurus gula dengan baik hingga menyebabkan bacaan gula tinggi dalam darah.

Apabila gula terlampau tinggi dalam darah, ia juga akan ditapis masuk ke dalam air kencing. Jika di periksa air kencing pesakit diabetes, mesti akan ditemukan gula di dalamnya. Sebab itu kita panggil penyakit ini sebagai KENCING MANIS.

Tanda tanda kencing manis berserta simptom

Seseorang yang mengalami kencing manis pada permulaannya tidak akan merasa apa-apa simptom. Hinggalah kencing manis tersebut menjadi teruk berserta bacaan gula dalam darah yang tinggi, barulah tanda-tanda kencing manis itu dapat dikenal pasti.

Beberapa Tanda tanda kencing manis adalah:

  • Kerap kencing: Perkara ini berlaku disebabkan gula yang memasuki saluran air kencing akan menghasilkan kepekatan air kencing yang lebih pekat. Ini akan menyebabkan air ditarik daripada darah masuk ke dalam air kencing.
  • Asyik lapar dan pesakit akan asyik makan sahaja. Perkara ini terjadi kerana sepatutnya insulin yang dirembeskan daripada pankreas akan menolak gula daripada dalam darah masuk ke dalam sel. Ketika gula masuk dalam sel lemak, sel lemak tersebut akan merembeskan hormon yang dinamakan sebagai leptin yang berfungsi memberi rasa kenyang kepada seseorang. Tetapi disebabkan insulin tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya maka hormon leptin juga hanya sedikit dihasilkan.
  • Asyik ingin minum air dan Mulut kering. Disebabkan seseorang pesakit kencing manis asyik kencing sahaja, ia akan menyebabkan mulutnya merasa kering selalu
  • Kulit gatal. Pesakit ini juga akan mengalami lemah imun sistem. Ini akan memudahkan kuman terutamanya kulat untuk menyerang kulit pesakit. Perkara ini akan menyebabkan pesakit sering mendapat kegatalan pada kulit
  • Rasa kebas atau sakit pada kaki. Jika kencing manis sudah terlampau lama, ia akan merosakkan saraf terutamanya pada bahagian tangan dan kaki. Ini akan menyebabkan kaki menjadi kebas.

Tanda tanda kencing manis yang lebih teruk adalah:

  • Berat badan berkurangan dengan mendadak.
  • Muntah-muntah yang teruk
  • Pengsan
  • Nafas Berbau

Macam mana nak tahu ada kencing manis atau tidak?

Perkara yang perlu dibuat untuk mengetahui seseorang itu ada kencing manis ataupun tidak adalah dengan membuat pemeriksaan darah.

Bacaan gula yang tinggi ketika berpuasa adalah 7 mmol/L

Bacaan gula yang tinggi ketika tidak berpuasa adalah 11.1 mmol/L

Jika bacaan gula anda melebihi seperti diatas, anda berkemungkinan menghadapi kencing manis.

Punca Kencing Manis

Kencing manis terbahagi kepada 3 secara amnya.

  • Diabetes Mellitus type 1
  • Diabetes Mellitus type 2
  • Gestational Diabetes

Diabetes Mellitus Type 1

Di dalam kencing manis jenis ini, ia disebabkan masalah autoimun dimana sistem imun badan menjadi konfius dimana mereka akan menghasilkan antibodi untuk menyerang sel di dalam pankreas.

Sebagaimana yang kita tahu, pankreas adalah organ yang menghasilkan insulin yang berfungsi untuk merendahkan bacaan gula.

Apabila pankreas rosak, maka badan tidak mampu menghasilkan insulin menyebabkan bacaan gula meningkat

Diabetes Mellitus Type 2

Kencing manis yang selalunya dihadapi oleh pesakit adalah kencing manis jenis ini. Ia merangkumi 95% pesakit yang mengalami masalah kencing manis.

Diabetes jenis ini selalunya berlaku ketika seseorang itu sudah dewasa berbanding dengan diabetes mellitus type 1 yang selalu bermula pada kanak-kanak lagi.

Dalam diabetes jenis ini, majoritinya bukan disebabkan kekurangan penghasilan insulin. Tetapi ia disebabkan insulin yang dihasilkan tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya. Keadaan ini dipanggil sebagai ‘insulin resistance’

Ia selalunya disebabkan penghidap kencing manis tersebut berlebihan berat badan ataupun obese. Ketika seseorang itu obese, ia akan menyebabkan insulin tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya dan pesakit akan mengalami kencing manis.

Ada satu kajian telah menunjukkan mereka yang mempunyai kencing manis dan mampu mengurangkan berat badannya setelah itu boleh membuatkan kawalan gulanya menjadi normal semula. Dalam kajian tersebut juga, pesakit sudah boleh memberhentikan pengambilan ubat kencing manisnya setelah berat badannya menurun. Ikuti kupasannya di sini.

Gestational diabetes

Kencing manis ini berlaku ketika mana seseorang perempuan mengandung. Ini kerana mengandung juga boleh menyebabkan sedikit sebanyak insulin tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya.

Bacaan sepenuhnya berkenaan kencing manis berserta rawatannya boleh rujuk kepada link ini.

Sumber Featured image medicalxpress.com

Categories: Perubatan

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa