Tekanan Darah Tinggi merupakan salah satu penyakit kronik yang melanda di seluruh negara yang telah membangun. Ia merupakan salah satu risiko utama untuk menghadapi angin ahmar, sakit jantung dan kegagalan buah pinggang.

Walaupun kajian yang mendalam berkenaan tekanan darah telah dijalankan, kebanyakan penyebab kepada tekanan darah tinggi di kalangan orang dewasa masih lagi tidak diketahui. Kawalan tekanan darah pula masih lagi pada bawah paras optima menyebabkan kebanyakan pesakit akan menghadapi komplikasi daripada tekanan darah tinggi tersebut.

Komplikasi yang berlaku disebabkan tekanan darah tinggi akan menyebabkan kos rawatan dalam masyarakat semakin meningkat berserta kehilangan kemampuan untuk berkerja akan mengurangkan produktiviti sesebuah negara.

Pengenalan

Definisi Tekanan Darah Tinggi: Ia adalah keadaan tekanan darah melebihi 140/90 mmHg. Tekanan darah tersebut mestilah secara konsisten tinggi pada 2 ataupun lebih waktu yang berasingan.

Tekanan darah tinggi merupakan salah satu faktor risiko yang boleh diubahsuai untuk mengelakkan penyakit seperti serangan sakit jantung, jantung lemah, angin ahmar dan juga kegagalan buah pinggang. Oleh itu, pesakit bukan sahaja perlu makan ubat tekanan darah tinggi, mereka juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan tekanan darah pada paras yang normal

Patofisiologi (Bagaimana tekanan darah tinggi berlaku?)

Tekanan darah tinggi yang selalu dihadapi dalam masyarakat adalah tekanan darah tinggi yang asas (Essential hypertension). Tekanan darah tinggi jenis ini selalunya mempunyai pelbagai faktor dan sedikit kompleks.

Pelbagai faktor yang akan mempengaruhi tekanan darah seperti isipadu darah, kepekatan darah, output daripada denyutan jantung, keelastikan salur darah dan beberapa perkara lagi

Proses yang menyebabkan tekanan darah jenis ini mempunyai pelbagai faktor seperti keturunan, pengambilan garam yang berlebihan, obesiti dan sebagainya.

Punca Tekanan Darah Tinggi

Penyebab tekanan darah tinggi boleh dibahagikan kepada dua iaitu Primer dan juga skunder. Dalam tekanan darah tinggi primer ataupun tekanan darah tinggi asas(essential hypertension), ia mempunyai faktor risiko yang berasal daripada persekitaran mahupun keturunan.

Manakala, tekanan darah tinggi skunder pula disebabkan masalah lain seperti masalah pada buah pinggang, masalah hormon/endokrin, masalah pada saluran darah dan beberapa masalah yang lain

Tekanan darah primer adalah merangkumi 90-95% mereka yang mengalami tekanan darah bagi orang dewasa. Hanya dalam bilangan kecil sahaja iaitu 2-10% yang mengalami tekanan darah disebabkan penyebab skunder.

Tekanan Darah Tinggi jenis Primer

Tekanan darah tinggi jenis ini adalah disebabkan faktor persekitaran dan juga keturunan. Jika seseorang itu mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah tekanan darah tinggi, maka dia pun mempunyai faktor risiko yang sama juga.

Ia juga ditambah lagi jika orang tersebut mempunyai faktor risiko yang lain seperti berlebihan berat badan, pengambilan garam yang berlebihan, mempunyai masalah kencing manis dan tidak mengawal permakanan.

Mereka yang stress juga mempunyai faktor risiko untuk mengalami tekanan darah tinggi. Ini kerana ia meningkatkan kerja sistem saraf simpatetik. Ini akan menyebabkan salur darah mengecil dan jantung mengepam dengan lebih banyak dan lebih laju. Perkara ini akan menyebabkan tekanan dalam darah semakin meningkat.

Beberapa faktor risiko yang akan meningkatkan kebarangkalian untuk menghadapi tekanan darah jenis ini adalah:

  • Ahli keluarga yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi
  • Berlebihan berat badan
  • Mempunyai penyakit kencing manis
  • Pengambilan garam yang berlebihan
  • Tidak mengawal permakanan
  • Kurang bersenam
  • Tekanan perasaan

Tekanan darah tinggi jenis skunder

Tekanan darah tinggi jenis ini adalah disebabkan masalah lain yang berlaku di dalam badan sebagai contoh

  • Masalah buah pinggang: Ia boleh disebabkan masalah kegagalan fungsi buah pinggang(kronik renal failure), polycystic kidney disease, saluran pembuang air kencing yang tersumbat dan ketumbuhan yang menghasilkan hormon renin
  • Masalah pembuluh darah: Ia boleh disebabkan saluran aorta yang sempit(Coarctation of aorta), keradangan saluran darah (Vasculitis) dan juga masalah collagen (Collagen vascular disease)
  • Masalah hormon/endokrin: Ia boleh disebabkan masalah penghasilan hormon aldosterone yang banyak (Primary hyperaldosteronism), Sindrom cushing, pheochromocytoma, Congenital adrenal hyperplasia dan juga hipertiroid.

Penyebab kepada Krisis Tekanan Darah Tinggi (Hypertensive Crisis)

Krisis Hipertensi berlaku dimana tekanan darah tinggi melebihi 180/110 merujuk kepada tekanan darah yang terlampau tinggi. Tekanan darah yang tinggi ini boleh menyebabkan serangan sakit jantung, angin ahmar dan juga kegagalan buah pinggang.

Bagi kebanyakan pesakit selalunya ia disebabkan pesakit berhenti daripada mengambil ubat yang telah diberikan oleh perawat kesihatan.

Akan tetapi, ada juga penyebab lain yang menyebabkan tekanan darah terlampau tinggi seperti:

  • Masalah buah pinggang: Glomerulonephritis, tubulointerstitial nephritis
  • Masalah Autoimun: Systemic lupus erthematosus, Systemic sclerosis
  • Masalah hormon/endokrin: pheochromocytoma, sindrom cushing, hipertiroid
  • Pengambilan ubat atau dadah: kokain, amfetamin, cyclosporin, ubat perancang keluarga
  • Pre-eklampsia

Prognosis (Kesudahan Pesakit)

Pesakit yang telah dikesan mempunyai masalah ini akan berterusan mempunyai tekanan darah yang semakin meningkat semakin mereka berumur. Tekanan darah tinggi yang tidak dirawat merupakan salah satu pembunuh senyap. Mereka yang tidak dirawat mungkin akan tiba meninggal dunia disebabkan serangan sakit jantung ataupun angin ahmar.

Selain daripada itu, mereka yang tidak dirawat juga akan menyebabkan organ seperti buah pinggang dan jantung akan semakin lama semakin rosak

Bukan itu sahaja, penyakit ini juga akan menyebabkan masalah pada bahagian mata kerana ia akan merosakkan retina iaitu salah satu bahagian mata yang menerima maklumat berkenaan apa yang kita lihat untuk dihantar kebahagian otak. Masalah ini dikenali sebagai retinopathy

Beberapa komplikasi yang mungkin akan dihadapi oleh pesakit darah tinggi adalah:

Simptom atau Tanda tanda Tekanan Darah Tinggi

Satu pertiga daripada rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa mereka sedang mengalami tekanan darah tinggi. Ini kerana penyakit tekanan darah tinggi yang biasa tidak mempunyai apa-apa simptom kecuali jika tekanan darah terlampau tinggi.

Kebanyakan pesakit hanya mengetahui mereka mempunyai masalah tersebut ketika mana mereka melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik, farmasi ataupun tempat yang melakukan perkara tersebut. Ada juga sebahagian yang dikesan mempunyai tekanan darah yang tinggi ketika mana datang berjumpa dengan doktor atas sebab penyakit yang lain.

Beberapa simptom ataupun tanda seseorang itu mempunyai tekanan darah tinggi adalah:

  • Sakit kepala
  • Pemandangan menjadi kabur
  • Muntah-muntah
  • Sakit dada
  • Rasa berdebar-debar

Kesemua tanda tersebut selalunya berlaku jika tekanan darah terlampau tinggi. Oleh itu, untuk mengetahui samada anda mempunyai tekanan darah tinggi ataupun tidak adalah dengan sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang menunjukkan simptom yang sama ataupun mempunyai bacaan tekanan darah yang tinggi. Ianya adalah

Penyiasatan

Setelah seseorang itu dikesan mempunyai penyakit hipertensi/tekanan darah tinggi, beberapa penyiasatan perlu dilakukan untuk mengetahui komplikasi yang mungkin pesakit sudah hadapi ataupun akan hadapi.

Penyiasatan tersebut adalah:

  • Analisis air kencing(Urinalysis): Untuk mengetahui samada wujudnya protein di dalam air kencing. Mereka yang mempunyai protein dalam air kencing akan mempunyai kemungkinan yang besar mengalami kegagalan buah pinggang dalam masa beberapa tahun akan datang. Kadang-kadang pesakit akan mengadu air kencing berbuih jika terdapat protein dalam air kencingnya
  • Fungsi buah pinggang(Renal function test): Penyiasatan ini dilakukan dengan mengambil darah pesakit untuk melihat bacaan urea dan creatinine. Jika kedua-dua bacaan tersebut tinggi, ia menunjukkan pesakit sudah mengalami kegagalan buah pinggang. Semakin tinggi bacaan tersebut, semakin tinggi tahap kerosakan yang sudah dialami oleh buah pinggang
  • Bacaan gula. Jika pesakit mempunyai kencing manis juga, risiko untuk mendapat komplikasi tekanan darah tinggi yang lain semakin meningkat
  • Profail lipid/lemak(Lipid profile): Ujian ini dibuat untuk mengetahui kandungan kolesterol dan lemak di dalam darah. Jika ia tinggi, ubat untuk mengurangkan kolesterol dan lemak tersebut akan diberikan kepada pesakit
  • Electrocardiogram(ECG): Adalah untuk mengesan gelombang yang dihasilkan daripada jantung. Daripada itu, kita boleh melihat sama ada jantung pesakit itu telah mempunyai komplikasi ataupun tidak disebabkan masalah tekanan darah yang dialami oleh pesakit

Rawatan

Hipertensi merupakan penyakit seumur hidup. Jika anda menghadapinya, kemungkinan untuk pulih semula adalah sangat rendah. Maka, dinasihatkan individu dalam masyarakat untuk mengelakkan faktor risiko yang boleh dielakkan.

Pengubahsuaian cara hidup(Lifestyle modification)

Beberapa perkara yang boleh dibuat untuk mengelakkan darah tinggi ataupun mengelakkan komplikasinya adalah:

  • Mengekalkan berat badan ideal. Jika anda obese, maka kena berusaha untuk mengurangkan berat badan
  • Melakukan senaman setiap minggu
  • Mengambil makanan yang kurang garam dan lemak
  • Kurangkan ataupun berhenti minum alkohol
  • Berhenti merokok. Kerana nikotin dalam rokok akan meningkat tekanan darah
  • Elakkan penggunaan dadah seperti kokain ataupun amfetamin

Pengambilan ubat

Pengambilan ubat adalah diperlukan untuk menurunkan tekanan darah dan dapat mengelakkan komplikasi yang mungkin berlaku kepada pesakit. Jika pesakit mempunyai masalah yang lain seperti kencing manis dan seorang perokok, maka dia mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghadapi komplikasi tersebut

Terdapat pelbagai jenis ubat tekanan darah tinggi dan penggunaan ubat tersebut adalah bergantung kepada kawalan tekanan darah tinggi, umur pesakit, samada pesakit mempunyai kencing manis ataupun tidak dan beberapa perkara lain yang perlu diambil perhatian.

Jenis dan contoh ubat-ubat tersebut adalah:

  • Angiotension converting enzyme inhibitor(ACEi): Contohnya adalah captopril, perindopril, enalapril
  • Angiotensin Receptor Blocker(ARB): Contohnya adalah irbesartan, losartan, telmisartan dan valsartan
  • Diuretics: Contohnya adalah hydrochlorothiazide dan indapamide
  • Beta-Blocker: Contohnya adalah atenolol, metoprolol, bisoprolol dan propanolol
  • Calcium Channel blocker: Contohnya adalah Amlodipine, felodipine, nifedipine, verapamil dan diltiazem
  • Alpha-blocker: Contohnya adalah Prazosin

Kegunaan ubat tekanan darah tinggi perlulah dibawah pemantauan doktor dan perawat kesihatan. Ini kerana adakalanya ubat yang diambil itu boleh menyebabkan kesan sampingan kepada pesakit.

Rujukan:

  1. Clinical Practice Guidelines: Management of Hypertension(4th edition). Ministry of Health Malaysia
  2. Benjamin EJ, Blaha MJ, Chiuve SE, et al, for the American Heart Association Statistics Committee and Stroke Statistics Subcommittee. Heart disease and stroke statistics-2017 update: a report from the American Heart Association. Circulation. 2017 Mar 7. 135 (10):e146-e603.
  3. Chobanian AV, Bakris GL, Black HR, Cushman WC, Green LA, Izzo JL Jr, et al. Seventh report of the Joint National Committee on Prevention, Detection, Evaluation, and Treatment of High Blood Pressure. Hypertension. 2003 Dec. 42(6):1206-52.
  4. Katakam R, Brukamp K, Townsend RR. What is the proper workup of a patient with hypertension?. Cleve Clin J Med. 2008 Sep. 75(9):663-72.
  5. Institute for Clinical Systems Improvement (ICSI). Hypertension diagnosis and treatment. Bloomington, Minn: Institute for Clinical Systems Improvement (ICSI); 2010.
  6. Whelton PK, Appel LJ, Sacco RL, et al. Sodium, blood pressure, and cardiovascular disease: further evidence supporting the American Heart Association sodium reduction recommendations. Circulation. 2012 Dec 11. 126 (24):2880-9.
Categories: Perubatan

Dr Latif Saad

Merupakan Seorang Doktor Perubatan. Pengasas kepada FB Page Root of Science dan juga e-Diagnosa. Follow juga wall personal saya di SINI

3 Comments

Jonathan William · at

Setiap Kali saya ke hospital untuk mengadu sakit kepala, Dada saya sakit, terasa denyutan kepala yang melampau. Doktor selamber je cakap saya cuma stress saja. Senang mereka cakap walhal mereka tidak tahu rasanya bagaimana saya menghentakkan kepala saya ke meja untuk menghilangkan sakit itu. Aduuuui

Kencing Manis(Type 2): Punca, Simptom dan Cara Rawatan · at

[…] Tekanan darah tinggi […]

Kencing Berbuih: Punca dan Apa yang perlu dibuat. - TheDiagnosa · at

[…] buih. Terdapat beberapa penyakit yang menyebabkan protein dalam air kencing seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, nephrotic syndrome, kencing kotor, kegagalan buah pinggang dan beberapa jenis penyakit yang […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *