Seperti mana yang kita tahu, setiap hari urusan kita semakin dipermudahkan dengan pelbagai kemudahan yang ada dalam telefon pintar. Ia membantu anda mencari tempat yang ingin dituju supaya tidak sesat dan membantu anda mengakses maklumat dengan pantas.

Baru-baru ini Finas telah menyiarkan satu kempen kesedaran di media sosial dan televisyen berkenaan kesan menggunakan telefon pintar  secara berlebihan yang menggunakan tagline “Telefon pintar memang pintar, tapi pintarkah anda?” Iklan ini pada pendapat penulis amat tepat sekali dan penulis amat memuji langkah Finas kerana bersikap progressif dalam menangani penyalahgunaan telefon pintar.

Semalam pula, Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) akan mengkaji semula Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana terdapat peningkatan saman dan kemalangan yang melibatkan penggunaan telefon pintar ketika memandu. Jadi perkara ini memang serius dan perlu diambil perhatian tegas.

Apakah kesan penggunaan telefon pintar ini terhadap minda anda sebenarnya? 

 

1.MELEMAHKAN MEMORI

Telefon pintar dikaitkan dengan capaian pantas kepada maklumat terkini dan boleh dijadikan rujukan sekiranya anda terlupa sesuatu maklumat dengan mudah. Kewujudan pelayan internet seperti Google.com dan juga laman perkongsian maklumat seperti Wikipedia.com memudahkan kita mendapat maklumat di hujung jari. Namun, kesannya dalam jangka masa panjang adalah menyebabkan memori anda menjadi lemah. Adakah anda perasan, kalau sebelum ini, tanpa menggunakan telefon pintar, anda akan berusaha untuk mengingat sesuatu dengan cara berfikir dan mengulangkaji, tetapi selepas wujudnya telefon pintar, maklumat tersebut dengan mudah dapat disemak tanpa perlu anda berfikir panjang.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh University of Texas, pelajar yang menggunakan telefon pintar untuk menyelesaikan masalah matematik, soalan kemahiran berfikir aras tinggi, dan soalan yang melibatkan ingatan, mencatat skor 10% lebih rendah berbanding pelajar yang tidak menggunakan telefon pintar.

2. MENYEBABKAN OTAK MENJADI KURANG CERDAS (LEMBAP)

Anak-anak kecil yang terdedah dengan penggunaan telefon pintar seringkali kelihatan kurang aktif dan kerap menyendiri berbanding anak yang dibiarkan bebas bermain di luar taman.  Kepada individu yang mempunyai anak, pastikan anda tidak menyerah dan tunduk kepada kehendak si kecil anda untuk bermain telefon pintar. Kerana ini boleh menjerumus kepada ketagihan telefon bimbit dan mengurangkan kecerdasan otak si kecil.

Berdasarkan kajian sama oleh University of Texas, kebanyakan pelajar yang menggunakan telefon pintar mencatatkan nilai tindak balas yang lebih perlahan berbanding pelajar lain. Hal ini kerana apabila pelajar lebih kerap berfikir dengan menggunakan telefon pintar, maka kapasiti kognitif mereka semakin berkurangan. Senang cerita, otak anda jadi lembap, kalau anda banyak pakai telefon pintar.

3. MENJADIKAN ANDA KURANG FOKUS

Kerap menggunakan telefon pintar dalam kehidupan seharian juga mengurangkan daya fokus anda. Contohnya jika anda mampu membaca artikel ini sampai ke tahap ini tanpa menganjak-anjak, ini bermakna daya focus anda masih tinggi.

Daya focus yang tinggi amat penting untuk anda berupaya menyelesaikan tugasan yang dijalani seharian. Contoh termudah adalah ketika memandu, anda memerlukan daya focus yang tinggi untuk kekal selamat di jalan raya. Jika focus anda mudah terganggu dengan bermain telefon pintar, maka nescaya anda tidak akan sampai ke destinasi yang ingin dituju dengan selamat.

Kajian yang dijalankan oleh University of Missouri pada tahun 2015 mendapati pengguna telefon pintar yang amat tegar akan merasa gelisah dan hilang focus hanya setelah 10minit “berpisah” dengan telefon pintar mereka. Anda pernah tak merasakan bahawa sesekali telefon pintar anda bergetar sewaktu di dalam poket anda.

Namun setelah memeriksa telefon pintar tersebut, ternyata tiada apa-apa notifikasi pon yang berlaku? Fenomena ini dinamakan sebagai “Phantom vibration syndrome” dan ini merupakan sindrom yang amat sering dialami pengguna telefon pintar terutama lelaki kerana menyimpan telefon pintar dalam poket seluar mereka. Baca lanjut di sini berkenaan PVS. https://en.wikipedia.org/wiki/Phantom_vibration_syndrome

4. MENGGANGGU WAKTU TIDUR

Adakah anda kerap menggunakan telefon pintar hingga jam 2-3 pagi? Tabiat ini bukan sahaja mengurangkan tahap kesihatan, malah menyebabkan anda kurang produktif di tempat kerja dan menjadi malas di awal pagi. Tapi mengapa perkara ini terjadi?

Berdasarkan kajian Profesor Paul Gringas dari Evelina Children Hospital London,lampu LED pada telefon pintar anda memancarkan sejenis cahaya biru yang menghentikan penghasilan melatonin iaitu sejenis hormone yang membuatkan anda terasa mengantuk dan bersedia untuk tidur.

Namun cahaya terang dari telefon pintar ini membuatkan minda anda berfikir seperti siang hari dan menyebabkan melatonin terhenti. Kesannya, anda akan terus menerus bermain telefon pintar sehingga lah anda tertidur sendiri dalam keadaan terpaksa. Sekaligus menjejaskan kualiti tidur anda.

Selepas membaca kesan-kesan ini, adakah anda masih ingin terperuk dalam bilik atau di rumah bermain telefon? Cepat, kemaskan pakaian anda dan bersiap untuk keluar berjogging dan menikmati udara luar. Terokai dunia di sekeliling anda dan belajar benda baru setiap hari!

Jika maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa.

Rujukan :

  1. Davey S, Davey A (2014). “Assessment of Smartphone Addiction in Indian Adolescents: A Mixed Method Study by Systematic-review and Meta-analysis Approach”.
  2. American Psychiatric Association (2013). “Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders”. American Psychiatric Association, Washington, DC, USA. 5th edition.
  3. Merlo LJ, Stone AM, Bibbey A (2013). “Measuring Problematic Mobile Phone Use: Development and Preliminary Psychometric Properties of the PUMP Scale”.
  4. Gibson, E. (27 July 2011). Smartphone dependency: a growing obsession with gadgets. Retrieved 27 September 2013 from USA Today 
  5. Laman web Wikipedia : effect of blue light technology
  6. Laman web Netdoctor : smartphone users risking eye damage
  7. Featured image dari mashable.com
Categories: Berita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *