1236Shares

Tonsil bengkak dalam istilah perubatan dipanggil sebagai tonsilitis. Ia juga merujuk kepada keradangan tonsil. Kebanyakan kes tonsil bengkak adalah disebabkan jangkitan kuman. Majoriti daripada jangkitan kuman tersebut adalah terdiri daripada virus dan diikuti dengan jangkitan bakteria.

Tonsil adalah salah satu tisu yang berfungsi untuk melawan kuman yang masuk melalui sama ada saluran permakanan ataupun saluran hidung. Ketika makanan yang mempunyai kuman itu masuk, ia akan melekat pada tonsil dan disitulah sel imun akan memakan bakteria ini dan menghasilkan antibodi untuk melawan kuman tersebut.

Pada ketika itu, tonsil akan mengalami keradangan disebabkan sel imun akan pergi ke tempat tersebut untuk melawan kuman.




Simptom dan tanda tonsil bengkak

Masalah ini selalunya dihadapi oleh kanak-kanak yang berumru 3 – 6 tahun. Beberpa simptom tersebut adalah:

  • Tonsil yang besar dan kemerah-merahan
  • Tompok putih pada tonsil yang bengkak
  • Sakit tekak
  • Sakit ataupun susah untuk menelan
  • Demam
  • Kalenjar limfa dibahagian leher membengkak dan terasa sakit
  • Mulut berbau
  • Sakit leher

Bagi kanak-kanak yang masih kecil dan tidak mampu berkomunikasi, tanda tanda seseorang kanak-kanak itu menghidapi tonsilitis adalah apabila:

  • Air liur yang meleleh
  • Tidak mahu makan
  • Asyik menangis

Faktor risiko

Terdapat beberapa faktor risiko untuk menghadapi masalah ini. Ia adalah

  • Umur: Mereka yang berumur diantara 5 hingga 15 tahun sangat mudah untuk terkena masalah tonsiliti
  • Selalu terdedah dengan kuman: Kanak-kanak di peringkat sekolah akan lebih mudah kerana terdedah dengan kawan-kawanya yang tidak sihat
  • Kawasan yang sesak: Kawasan yang sesak ataupun tempat tinggal yang banyak penghuni akan memudahkan kuman ini untuk merebak

Punca tonsil bengkak

Virus atau bakteria menjadi penyebab utama tonsil bengkak berserta komplikasinya. Keadaan yang sesak dengan orang dan juga tidak cukup nutrisi daripada makanan boleh menyebabkan seseorang itu mudah terkena masalah ini

Beberapa jenis virus yang boleh menyebabkan masalah ini adalah:

  • Adenovirus
  • Herpes simplex virus
  • Cytomegalovirus
  • Virus measles
  • Epstein-Barr virus

Bakteria yang selalu menyebabkan keradangan tekak dan tonsil bengkak pula selalunya disebabkan Streptococcus pyogenes. Selain daripada itu, terdapat beberapa bakteria lain yang boleh menyebabkan tonsil bengkak tetapi ia jarang berlaku. Bakteria itu adalah:

  • Mycoplasma pneumoniae
  • Cornybacterium diphtheriae
  • Neisseria gonorrhea

Bila pesakit perlu pergi berjumpa doktor?

Ianya penting untuk membawa pesakit berjumpa dengan doktor jika pesakit mengalami simptom ini

  • Demam yang teruk
  • Sakit tekak hingga pesakit sangat kurang makan dan minum
  • Pesakit nampak terlalu letih
  • Susah bernafas
  • Tonsil masih tidak baik setelah 3 hari

Rawatan tonsil bengkak

Jika pesakit tidak terlalu teruk dan masih boleh makan seperti biasa, pesakit boleh lah dirawat di rumah.

Rawatan di rumah

  • Pesakit diminta untuk mendapat rehat yang secukupnya
  • Berikan air yang mencukupi
  • Kumurkan tekak dengan air garam
  • Gunakan ‘air humidifier‘ untuk melembabkan udara persekitaran supaya tekak terasa lebih selesa
  • Berikan ‘lozenge‘ untuk mengurangkan sakit tekak
  • Gunakan ubat tahan sakit ataupun ubat demam untuk mengurangkan sakit dan demam

Antibiotik

Antibiotik hanya diberikan jika pesakit mengalami jangkitan disebabkan bakteria. Selalunya pesakit yang mengalami tompok-tompok putih pada tonsil mengalami jangkitan bakteria.

Oleh itu, pesakit seperti boleh diberi antibiotik

Pembedahan

Pembedahan untuk membuang tonsil (tonsilectomy) hanya diperlukan atas beberapa sebab iaitu jika pesakit kerap mengalami tonsil bengkak (tonsilitis). Ianya bermaksud:

  • Tonsilitis berlaku sebanyak 7 episod dalam satu tahun
  • Tonsilitis berlaku sebanyak 4 hingga 5 kali setiap tahun dalam masa 2 tahun
  • Tonsilitis berlaku sebanyak 3 kali setiap tahun dalam masa 3 tahun

Pembuangan tonsil juga diperlukan jika pesakit mengalami

  • Sekatan pernafasan ketika tidur (obstructive sleep apnea)
  • Susah untuk bernafas
  • Susah untuk menelan
  • Nanah pada tonsil yang tidak baik dengan penggunaan antibiotik




Rujukan:

  1. Stelter K. Tonsillitis and sore throat in children. GMS Curr Top Otorhinolaryngol Head Neck Surg. 2014. 13:Doc07.
  2. Wald ER. Commentary: Antibiotic treatment of pharyngitis. Pediatrics in Review. 2001. 22 (8):255-256.
  3. Herzon FS. Harris P. Mosher Award thesis. Peritonsillar abscess: incidence, current management practices, and a proposal for treatment guidelines. Laryngoscope. 1995 Aug. 105(8 Pt 3 Suppl 74):1-17.
  4. Shulman ST, Bisno AL, Clegg HW, Gerber MA, Kaplan EL, Lee G, et al. Clinical practice guideline for the diagnosis and management of group A streptococcal pharyngitis: 2012 update by the Infectious Diseases Society of America. Clin Infect Dis. 2012 Nov 15. 55 (10):e86-102
  5. Baugh RF, Archer SM, Mitchell RB, Rosenfeld RM, Amin R, Burns JJ, et al. Clinical practice guideline: tonsillectomy in children. Otolaryngol Head Neck Surg. 2011 Jan. 144 (1 Suppl):S1-30.

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

1 Comment

Azah · July 27, 2018 at 2:06 pm

Assalamualaikum wbt doktor
Anak saya pernah warded 3 hari di hospital kerana tonsil..bengkak di bahagian bwh telinga…selepas itu dia kerap demam..anak sy sekarang berumur 5 thn..doktor,adakah penyakit ini boleh sembuh sepenuhnya..adakah anak sy akan kerap demam..dlm setahun kerap demam..apakah ubat yg menyembuhkan tonsil…sy runsing memikirkan keadaan anak perempuan saya ini..masuk ni dah 2x bengkak di leher bwh telinga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *