Placenta previa(uri di bawah) adalah masalah yang akan membahayakan nyawa ibu dan juga anak yang sedang dikandung jika tidak dikesan awal. Ia kerana ia boleh menyebabkan pendarahan daripada bahagian uri yang terletak di bahagian bawah rahim. Kekurangan darah boleh menyebabkan simptom renjatan(shock) dan berakhir dengan kematian

1. Istilah perubatan

  1. Placenta previa: Uri yang terletak dibahagian bawah rahim
  2. Patofisiologi: Bagaimana proses penyakit itu berlaku
  3. Prognosis: Kesudahan yang berlaku apabila mempunyai pernyakit tersebut

2. Pengenalan

Placenta Previa adalah masalah yang berlaku pada seseorang wanita mengandung dimana lokasi plasenta/Uri terletak dibahagian bawah rahim. Ia akan menutupi sebahagian ataupun keseluruhan pangkal rahim menyebabkan kelahiran bayi menjadi lebih susah.

Bukan itu sahaja, pendarahan yang dahsyat juga boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Ini kerana ketika kelahiran, pintu serviks akan terbuka menyebabkan placenta tercabut daripada bahagian bawah rahim dan menyebabkan pendarahan.

Keadaan ini boleh menyebabkan kedua-dua nyawa di dalam bahaya.

3. Patofisiologi

Bagaimana placenta previa berlaku?

Pelekatan placenta di bahagian rahim berlaku ketika dalam fasa embrio. Embrio akan menetap ke dalam dinding rahim yang tebal yang penuh dengan saluran darah untuk mendapatkan nutrien. Ketika mana semakin membesar, ia akan menghasilkan uri yang bersambung dengan bayi menggunakan tali pusat. Di plasenta, pertukaran gas, nutrien dan bahan buangan akan berlaku diantara bayi dan ibu.

Bahagian rahim yang melekat dengan uri mengandungi saluran darah yang banyak untuk memudahkan pertukaran bahan-bahan tersebut.

Di dalam placenta previa pula, embrio melekat berdekatan dengan bahagian bawah rahim menyebabkan plasenta membesar dan melekat di kawasan tersebut.

Bagaimana pendarahan berlaku?

Ketika bayi membesar di dalam kandungan ataupun dalam proses kelahiran, bahagian serviks akan merenggang dan terbuka untuk membenarkan kelahiran. Perkara ini menyebabkan uri lekang(tercabut) daripada bahagian bawah rahim. Disebabkan perkara tersebut pendarahan berlaku daripada uri dan juga daripada rahim itu sendiri menyebabkan kedua-dua nyawa di dalam bahaya.

4. Punca Uri Di Bawah (placenta Previa)

Punca sebenar placenta previa masih tidak diketahui. Keadaan ini mungkin disebabkan pelbagai faktor. Seseorang itu mempunyai risiko untuk menghadapi masalah placenta previa jika mereka mempunyai kriteria tersebut:

  • Umur ibu lebih daripada 35 tahun
  • Menjalani rawatan ketidaksuburan sebelum itu
  • Mengandung lebih daripada 5 kali
  • Sedang mengandung bayi kembar
  • Pernah membuat pembedahan dibahagian rahim(Pembedahan Caesarean)
  • Selalu keguguran
  • Mempunyai sejarah placenta previa sebelum ini

5. Prognosis

Seseorang wanita yang mengandung mempunyai kebarangkalin sebanyak 0.5% untuk menghadapi placenta previa. Kemajuan dalam teknologi ultrasound telah menyebabkan diagnosa placenta previa dapat dibuat pada awal kandungan dan rawatan dapat dirancang awal supaya komplikasi dapat dielakkan.

Ada juga sesetengah kes dimana uri tersebut bergerak ke atas ketika mana bayi semakin membesar. Disebabkan itu ada sesetengah hospital yang memeriksa plasenta setiap 2 minggu untuk melihat kedudukan placenta. Jika ia sudah berada pada kedudukan yang normal, pesakit akan dibenarkan lahir secara normal. Jika masih lagi berada di bawah sehingga cukup bulan, maka pesakit perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi.

Komplikasi yang mungkin berlaku kepada ibu:

  • Pendarahan
  • Mempunyai kadar blood transfusi yang tinggi
  • Uri lekang(Placental abruption)
  • Kelahiran yang tidak cukup bulan
  • Jangkitan rahim selepas bersalin

Komplikasi yang mungkin berlaku kepada bayi yang dikandung

  • Kekuningan
  • Sindrom kematian bayi mengejut(Sudden Infant Death Syndrome)
  • Masalah pernafasa
  • Kurang berat badan (<2500g)

6. Simptom

Simptom klasik yang berlaku adalah pendarahan daripada ‘vagina’ yang tidak menyebabkan kesakitan(Painless bleeding). Darahnya berwarna merah terang. Kadang-kadang ia berhenti dengan sendirinya dan berlaku balik ketika waktu bersalin

Pendarahan selalunya berlaku pada trimester ke-3(kandungan yang lebih daripada 24 minggu)

Jika pendarahan berlaku dengan banyak, pesakit mungkin akan mengalami simptom dan tanda renjatan(shock) seperti

  • Kurang tekanan darah
  • Denyutan jantung yang laju
  • Rasa berdebar-debar
  • Pening kepala
  • Pengsan

7. Diagnosis-diagnosis yang lain

Terdapat beberapa diagnosis lain yang seolah-olah mempunyai simptom yang sama seperti placenta previa:

  • Uri lekang(abruptio placenta)
  • Jangkitan kuman pada servik
  • Kelahiran yang tidak cukup bulan
  • Rahim pecah ketika bersalin(terutamanya yang pernah membuat pembedahan di bahagian rahim)

8. Penyiasatan

Ketika mana pendarahan daripada vagina berlaku, penggunaan ultrasound adalah penting. Ini kerana ia dapat melihat sama ada pesakit mempunyai masalah placenta previa ataupun tidak sebelum membuat pemeriksaan dibahagian saluran peranakan.

Ini kerana pemeriksaan menggunakan tangan untuk melihat bukaan serviks mungkin akan menyebabkan pendarahan menjadi lebih teruk

8.1 Pengambilan darah

Ketika mana seseorang itu mempunyai masalah placenta previa, bebereapa jenis sampel darah perlu diambil sebagai contoh:

  • Jenis darah
  • Status ‘rhesus’ darah pesakit
  • Full blood count untuk melihat bacaan haemoglobin

Pengambilan semua jenis darah ini untuk menentukan berapa banyak dan jenis darah yang perlu di siap sediakan. Jika pendarahan yang teruk berlaku, pada ketika itu darah sudah siap sedia untuk digunapakai bagi merawat pesakit

8.2 Ultrasound

Terdapat beberapa jenis ultrasound. Untuk masalah placenta previa, transvaginal ultrasound merupakan jenis ultrasound yang paling sensitif untuk mengesan masalah tersebut. Mesin tersebut akan dimasukkan ke dalam vagina untuk melihat kedudukan placenta sama ada dia berdekatan dengan serviks ataupun tidak.

Pesakit hanya akan di diagnos menghadapi masalah placenta previa jika placenta itu masih dibahagian bawah rahim pada minggu ke 28 kandungan. Sebelum 28 minggu, keadaan pesakit yang mempunyai uri dibahagian bawah akan disebut sebagai ‘low-lying placenta’.

9. Rawatan Uri Di Bawah (placenta previa)

Rawatan bagi pesakit yang mempunyai masalah ini adalah bergantung kepada keadaan pesakit. Jika tiada pendarahan yang berlaku, pesakit akan di rawat secara konservatif. Iaitu kita akan meletakkan pesakit di dalam hospital untuk melakukan pemerhatian sehinggalah umur bayi cukup dan pembedahan ataupun kelahiran boleh dilakukan.

Proses pemerhatian pesakit di wad adalah penting kerana untuk mengelakkan pembedahan yang tidak dapat dikawal.

Jika berlakunya pendarahan ataupun proses kelahiran telah bermula, pesakit akan terus dibawa ke bilik pembedahan untuk mengeluarkan bayi tersebut.

Jika kandungan masih lagi tidak cukup bulan, suntikan Intramuscular Dexamethasone akan diberikan kepada ibu untuk mematangkan paru-paru bayi sebelum bayi dilahirkan

Jangan lupa untuk like page facebook kami di SINI dan teruskan melayari laman web kami TheDiagnosa.com untuk mendapat info berkenaan penyakit anda.

10. Rujukan:

  1. Marshall NE, Fu R, Guise JM. Impact of multiple cesarean deliveries on maternal morbidity: a systematic review. Am J Obstet Gynecol. 2011 Sep. 205(3):262.e1-8.
  2. Ananth CV, Smulian JC, Vintzileos AM. The effect of placenta previa on neonatal mortality: a population-based study in the United States, 1989 through 1997. Am J Obstet Gynecol. 2003 May. 188(5):1299-304.
  3. Williams MA, Mittendorf R. Increasing maternal age as a determinant of placenta previa. More important than increasing parity?. J Reprod Med. 1993 Jun. 38(6):425-8.
  4. Wexler P, Gottesfeld KR. Early diagnosis of placenta previa. Obstet Gynecol. 1979 Aug. 54(2):231-4.
  5. Zlatnik MG, Cheng YW, Norton ME, Thiet MP, Caughey AB. Placenta previa and the risk of preterm delivery. J Matern Fetal Neonatal Med. 2007 Oct. 20(10):719-23.

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa