1181Shares

Maksud vertigo adalah perasaan dimana pemandangan sekeliling seolah-olah berpusing sama seperti jika kita melakukan pusingan badan ketika berdiri. Tetapi dalam masalah ini, pesakit sendiri tidak berpusing. Hanya pesakit sahaja merasakan dirinya seolah-olah sedang berpusing.

Pesakit yang mengalami masalah ini selalunya akan mengatakan dirinya merasa pening ataupun merasakan pemandangan berpusing. Perlu diingatkan bahawa masalah ini tidak sama seperti rasa ringan kepala disebabkan pening kepala.

Punca dan Penyebab vertigo

Terdapat 2 kategori kepada masalah ini iaitu:

  • Vertigo periferi:¬†adalah disebabkan masalah pada bahagian dalam telinga dan juga masalah pada bahagian saraf yang menghantar maklumat ke otak
  • Vertigo berpusat: pula adalah masalah pada bahagian otak terutamanya bahagian cerebellum yang mengawal keseimbangan badan.

Tiga penyebab utama masalah ini adalah vertigo periferi iaitu:

  • Benign Paroxysmal Positional Vertigo (BPPV): Selalunya disebabkan perubahan posisi kepala secara mendadak menyebabkan bahagian dalam telinga menjadi tidak berfungsi secara normal
  • Menieres’s disease: Masalah pada bahagian dalam telinga yang memberi kesan kepada pendengaran dan keseimbangan
  • Acute peripheral vestibulopathy (APV) adalah keradangan di kawasan dalam telinga yang menyebabkan masalah ini

Jarang-jarang ia disebabkan oleh:

  • Hakisan cholesteatoma
  • Otosclerosis: Penumbuhan tulang yang tidak normal di dalam telinga

Punca vertigo berpusat pula adalah:

  • Strok (angin ahmar)
  • Tumor di bahagian cerebellum
  • Migrain
  • Multiple sclerosis

Simptom dan tanda tanda vertigo

Simptom dan tanda utamanya adalah merasakan bilik ataupun pemandangan berpusing sedangkan pada ketika itu dirinya tidak berpusing.

Simptom dan tanda-tanda yang lain adalah:

  • Loya
  • Muntah
  • Sakit kepala
  • Rasa tidak stabil ketika berjalan
  • Keadaan menjadi lebih teruk bila kepala digerak atau dipusingkan
  • Jalan melelong-lelong

Penyiasatan dan Ujian untuk menentukan diagnosa

Beberapa penyiasatan dan ujian akan dilakukan untuk mengetahui punca dan jenis masalah yang anda ada

Ujian mata: Doktor akan meletakkan jarinya dihadapan pesakit dan pesakit perlu melihat jari tersebut. Doktor akan menggerakkan jari itu ke kiri atau ke kanan sambil melihat mata pesakit samada mempunyai pergerakan yang normal ataupun tidak

Ujian Romberg (Romberg test): Pesakit akan diminta berdiri secara lurus kemudian pesakit perlu menutupkan matanya. Pesakit diminta untuk mengimbangkan dirinya dalam keadaan itu tanpa jatuh. Selalunya pesakit yang mengalami masalah pada bahagian cerebellum tidak akan mampu berdiri dalam keadaan mata tertutup.

Terdapat juga ujian dan prosedur lain seperti ujian imbasan CT dan MRI. Ujian tersebut hanya dibuat jika diperlukan sebagai contoh jika pesakit disyakit mengalami stroke ataupun tumor dibahagian otak.

Tanda tanda berbahaya jika mengalami Vertigo

Terdapat beberapa simptom yang berbahaya jika seseorang itu mengalami masalah ini. Pesakit perlulah segera berjumpa dengan doktor jika mengalami simptom tersebut. Simptom dan tanda tersebut adalah:

  • Vertigo yang berterusan
  • Mempunyai simptom lain seperti tidak mampu menggerakkan kaki atau tangan. (Pesakit mungkin mengalami strok/ angin ahmar)
  • Mempunyai masalah pendengaran
  • Sakit telinga yang melampau

Rawatan Vertigo

Rawatan masalah ini bergantung kepada penyebabnya. Tetapi kebanyakan masalah ini boleh sembuh dengan sendirinya tanpa memerlukan apa jenis ubat.

Pesakit yang mengalami vertigo periferi boleh mencuba ubat jenis perencat vestibular. Contohnya adalah:

  • Antihistamine : Promethazine, betahistine
  • Benzodiazepines: Diazepam, lorezepam
  • Antiemetics: Prochloperazine, metoclopramide

Jika ia disebabkan vertigo berpusat, rawatannya adalah bergantung kepada penyebab masalah tersebut.

Rujukan:

Categories: Simptom

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *